
SELANGAU: Ahli Dewan Negara, Senator Rita Sarimah Patrick Insol, mengumumkan peruntukan khas kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi tiga rumah panjang sebagai usaha membantu pemulihan kawasan yang terkesan banjir.
Tiga rumah panjang yang menerima peruntukan tersebut ialah Rumah Panjang Ngian (RM20,000),
Rumah Panjang Lapok (RM10,000) dan Rumah Panjang Gamang (RM20,000).
Peruntukan tersebut disampaikan oleh beliau ketika meninjau kesan bencana banjir yang melanda di Sungai Pelugau, Selangau pada awal Februari lalu.
Lawatan tersebut mencerminkan keprihatinan beliau terhadap penduduk yang terjejas, khususnya dalam menilai kerosakan infrastruktur seperti jalan raya yang dipenuhi mendapan pasir, jeti Rumah Panjang yang dihanyutkan air serta kejadian tanah runtuh yang berlaku di hadapan rumah panjang.
Penduduk setempat menyambut baik lawatan dan bantuan yang diberikan, dengan harapan lebih banyak langkah pemulihan dapat dilaksanakan bagi memastikan kehidupan mereka kembali pulih seperti sediakala.- UKAS