Chukpai gesa jalan Sungai Asap dilengkapi ciri keselamatan

Facebook
WhatsApp
KENNEDY Chukpai Ugon berucap pada Program Menteri Kerja Raya Bersama Masyarakat Rumah Bakah di Uma Baha Apau Koyan di Sungai Asap, hari ini.

SUNGAI ASAP: Laluan sempit yang dikongsi motosikal, kenderaan kecil dan kenderaan berat di jalan masuk utama Bakun Resettlement Scheme (BRS) Sungai Asap perlu dilengkapi ciri keselamatan bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata, perkara itu perlu diberi perhatian dalam cadangan menaik taraf laluan sepanjang sekitar 28 kilometer berkenaan yang turut menghubungkan 15 rumah panjang.

“Beberapa nyawa telah terkorban akibat kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat di laluan ini.

“Setiap nyawa yang terkorban merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga dan masyarakat,” katanya.

MENTERI Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi menerima cenderamata daripada Kennedy Chukpai Ugon sambil disaksikan oleh tetamu kehormat lain pada Program Menteri Kerja Raya Bersama Masyarakat Rumah Bakah di Uma Baha Apau Koyan di Sungai Asap, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Menteri Kerja Raya Bersama Masyarakat Rumah Bakah di Uma Baha Apau Koyan di sini, hari ini.

Tambah Chukpai, keadaan jalan yang sempit menyebabkan penduduk, khususnya penunggang motosikal, terpaksa berkongsi laluan dengan lori dan kenderaan berat.

Sehubungan itu, beliau meminta projek naik taraf berkenaan merangkumi pelebaran jalan, pembaikan selekoh berbahaya, bahu jalan dan sistem perparitan selain dinaik taraf sekurang-kurangnya kepada standard R3.

Beliau turut mencadangkan lorong motosikal khusus diwujudkan bagi mengurangkan risiko kepada penduduk yang menggunakan motosikal sebagai pengangkutan harian.

“Ramai penduduk daripada 15 rumah panjang ini menggunakan motosikal sebagai pengangkutan harian dan mereka terpaksa berkongsi laluan dengan lori serta kenderaan berat,” katanya.

Selain itu, Chukpai meminta sistem pencahayaan jalan disediakan di kawasan penempatan, persimpangan, selekoh berbahaya dan jalan masuk ke rumah panjang.

Beliau berkata, komponen keselamatan berkenaan perlu dirancang sejak peringkat awal supaya dapat dimasukkan dalam skop keseluruhan projek.

Menurutnya, cadangan menaik taraf Jalan Masuk BRS Sungai Asap telah dikemukakan untuk pertimbangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kapit telah menyediakan ‘project brief’ bagi projek berkenaan.

Chukpai berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan projek itu dan berharap permohonan berkenaan dapat diberi perhatian bagi meningkatkan keselamatan penduduk yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.

Oleh Carolyne Utih