BAU: Polis Bau terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap jenayah komersial menerusi program ceramah pencegahan jenayah di Sekolah Kebangsaan (SK) St Teresa, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, program anjuran Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Bau (BSJKD) itu bertujuan memberi pendedahan kepada guru dan kakitangan sekolah mengenai trend terkini jenayah komersial serta langkah praktikal bagi mengelak daripada menjadi mangsa.
Beliau berkata, seramai 14 guru dan kakitangan menghadiri program berkenaan yang turut menyentuh pelbagai jenis penipuan, termasuk penipuan e-dagang, ‘phone scam’, pinjaman tidak wujud, akaun keldai, ‘love scam’ serta penipuan bersemuka membabitkan pembayaran melalui kod QR.
“Melalui program ini, kita berharap komuniti sekolah dapat meningkatkan kewaspadaan terhadap pelbagai bentuk jenayah komersial yang berlaku di Daerah Bau serta mengetahui langkah praktikal untuk melindungi diri,” katanya.
Peserta turut diberi penerangan mengenai perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), termasuk Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997, aplikasi Whoscall, portal Semak Mule dan Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
Menurut Superintendan Mohd Haide, program berkenaan berlangsung lancar dan mendapat sambutan positif daripada guru serta kakitangan sekolah.
Katanya, program itu turut membantu meningkatkan literasi digital komuniti sekolah dan memupuk kesedaran terhadap risiko jenayah siber.
Oleh Connie Chieng





