
KABONG: Tiga projek untuk membangunkan Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Junid Gerigat telah berjaya disiapkan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata tiga projek tersebut telah memperuntukkan kos berjumlah RM600,000 untuk melaksanakannya.
Antaranya ialah membina Dewan Terbuka SK Hj Junid Gerigat (RM200,000) dan projek membina astaka dan perparitan padang bola sepak SK Haji Junid Gerigat (RM150,000).
Sementara itu, projek membina surau SK Haji Junid Gerigat sebanyak RM250,000 masih belum bermula atas sebab tapak projek yang belum dikenal pasti.
“Kesemua pelaksanaan projek itu adalah merupakan merupakan permintaan daripada warga sekolah malah juga penduduk kampung yang mahukan kemudahan seperti itu untuk kegunaan dan manfaat bersama.
“Saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini, akan bantu apa sahaja program yang memberi manfaat bagi meningkatkan kualiti pendidikan pelajar di DUN Kabong ini khasnya,” katanya semasa berucap pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri SK Haji Junid Gerigat, hari ini.
Chee Kadir berkata beliau akan terus bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok bagi memastikan kemudahan prasarana sekolah di konstituensi itu berada pada tahap yang lebih baik dan mewujudkan suasana yang lebih selesa kepada pelajar dan warga pendidik.
“Justeru, saya akan terus meminta kerjasama daripada pihak sekolah serta PPD Saratok untuk memastikan bantuan serta kemudahan prasarana sekolah di daerah ini berada pada tahap yang lebih baik,” ujarnya.
Pada majlis itu juga, turut disampaikan simbolik penyerahan cek projek khas Kerajaan Sarawak Kepada Jawatankuasa Masjid Ar-Rahim Gerigat sebanyak RM5,000.
Turut hadir Penolong PPD Sektor Pembangunan Bakat Murid, PPD Saratok, Zulkarnain Ahmad, Guru Besar SK Haji Junid Gerigat, Jamel Razali dan Yang Dipertua PIBG SK Haji Junid Gerigat, Rahman Mohd Tiong.
Oleh Safarman