KUCHING, 5 Oktober: Polis menyiasat kejadian dua lelaki yang menunggang motosikal dan melanggar anggota polis ketika sekatan jalan raya di Jalan Padungan, di sini, semalam, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Polis (ACP) Alexson Naga Chabu mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu semalam.
Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku ketika anggota polis sedang menjalankan tugas sekatan jalan raya di Jalan Padungan.
Sebahagian kejadian turut dirakam orang awam menerusi video berdurasi 39 saat yang kemudiannya tular di media sosial.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 082-244444 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Aliff di talian 013-3115854.




