Jentera PBB-GPS Bukit Saban diarah sentiasa siap siaga hadapi PRN13

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas menghadiri Taklimat Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Pengira Undi (PACA) serta Jentera Pilihan Raya DUN N.37 Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini. Foto Douglas Uggah Embas Official

SPAOH, 4 Oktober: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban diarah supaya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN13).

Timbalan Presiden PBB Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata persiapan perlu dilakukan lebih awal dengan setiap petugas memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.

Menurutnya, jentera parti tidak seharusnya menunggu sehingga tarikh PRN diumumkan sebelum memulakan gerak kerja, sebaliknya kesiapsiagaan perlu diperkukuh dari sekarang.

“Saya mahu semua jentera dan petugas bersiap sedia dari sekarang. Jangan tunggu sehingga PRN diumumkan baru kita hendak bergerak.

“Setiap orang perlu memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing supaya kita boleh bertindak dengan segera apabila diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Taklimat Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Pengira Undi (PACA) serta Jentera Pilihan Raya DUN N.37 Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini.

Seramai 158 jentera dan petugas menghadiri taklimat berkenaan yang memberi tumpuan kepada peranan PACA, penyelarasan gerak kerja serta persediaan menghadapi PRN13.

Uggah turut menekankan kepentingan disiplin, kesepaduan dan koordinasi di semua peringkat bagi memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan secara teratur dan lancar.

Katanya, petugas PACA khususnya perlu memahami dengan jelas peranan, tanggungjawab serta prosedur yang perlu dipatuhi sepanjang proses pilihan raya.

“Kesiapsiagaan mesti bermula sekarang. Pastikan jentera kita tersusun, petugas memahami peranan masing-masing dan semua persiapan dibuat lebih awal kerana PRN boleh diadakan pada bila-bila masa,” katanya.

Taklimat berkenaan turut menjadi platform untuk memperkemas penyelarasan antara pimpinan parti, jentera kawasan dan petugas pilihan raya agar gerak kerja di peringkat DUN dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun apabila diperlukan.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai; Setiausaha Eksekutif PBB Sarawak, Datuk Takun Sunggah; Setiausaha Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Susan Chemerai Anding; Timbalan Ketua Cawangan PBB Bukit Saban, Abang Madehi Abang Abdul Latif; serta Ketua Wanita PBB Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah.

Oleh Adi Safarman