PBB Krian santuni akar umbi, terima ahli baharu di Rumah Machop

Facebook
WhatsApp
PROGRAM Santai Segulai Sejalai di Rumah Machop, Kedoh Sungai Tapang, Sebelak, Roban. Foto PBB Krian

ROBAN, 4 Oktober: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Krian terus memperkukuh hubungan bersama akar umbi menerusi Program Santai Segulai Sejalai di Rumah Machop, Kedoh Sungai Tapang, Sebelak, di sini semalam.

Program yang diketuai Ketua Cawangan PBB Krian, Bell Bernard Aggan itu menghimpunkan Ahli Jawatankuasa (AJK) cawangan, Pergerakan Wanita dan Pemuda serta ahli-ahli PBB Krian.

Lebih daripada sekadar pertemuan, program berkenaan menjadi wadah untuk kepimpinan parti turun padang, bertemu dan mendengar sendiri suara serta perkembangan ahli di peringkat akar umbi.

Bell berkata hubungan rapat antara kepimpinan dan akar umbi perlu terus diperkukuh bagi memastikan semangat Segulai Sejalai kekal menjadi asas perpaduan serta kerjasama dalam parti.

Beliau turut berkongsi hala tuju dan perkembangan semasa PBB, khususnya di peringkat cawangan serta perkembangan pembangunan negeri Sarawak.

Pada masa yang sama, program itu turut memberi tumpuan kepada penyertaan ahli baharu yang disifatkan sebagai tanda keyakinan masyarakat terhadap perjuangan PBB dan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bell merakamkan penghargaan kepada semua ahli baharu atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan dalam usaha meneruskan agenda pembangunan serta kemajuan Sarawak.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyampaikan insentif pendidikan kepada anak ahli PBB yang melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya sebagai tanda keprihatinan parti terhadap masa depan generasi muda.

Program itu turut menyaksikan Bell menerima borang permohonan keahlian PBB daripada penduduk setempat, sekali gus memperlihatkan sokongan berterusan terhadap parti di kawasan Krian.

Bell turut mengajak seluruh ahli supaya terus mengutamakan perpaduan, kerjasama dan semangat kekitaan dalam memperkukuh kekuatan PBB di peringkat akar umbi.

Program di Rumah Machop itu berlangsung dalam suasana mesra dan penuh kekeluargaan, dengan sambutan baik daripada penduduk serta ahli-ahli PBB yang hadir.

Oleh Adi Safarman