
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Persekutuan dalam usaha mempertingkatkan sistem pengurusan dan pentadbiran kebajikan di negeri itu.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan di Putrajaya bagi membincangkan pelaksanaan program kebajikan yang lebih berkesan untuk rakyat Sarawak, semalam.
Perjumpaan tersebut merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja rasmi ke Kuala Lumpur bersama delegasi kerajaan Sarawak.

Antara agenda utama yang dibincangkan termasuk usaha memperluas jaringan bantuan sosial, memperkasakan kebajikan golongan rentan serta mempercepatkan penyaluran bantuan kepada rakyat yang memerlukan di Sarawak.
Turut hadir dalam perbincangan itu ialah Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datu Felicia Tan Ya Hua serta Pengarah JKM Sarawak Semawi Muhamad.