JULAU, 5 Oktober: Politik perlu menjadi platform untuk membawa pembangunan dan memberi manfaat kepada rakyat, bukannya menjadi penghalang kepada kemajuan hanya kerana perbezaan ideologi.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, keutamaan seseorang wakil rakyat adalah memastikan mandat yang diberikan digunakan sebaik mungkin untuk membawa pembangunan kepada masyarakat.
Katanya, usaha itu dilaksanakan secara berterusan melalui pendekatan turun padang bagi mengenal pasti keperluan penduduk dan mendapatkan projek yang bersesuaian untuk kawasan Parlimen Julau.
“Tujuan politik saya ialah untuk membawa pembangunan kepada rakyat.
“Oleh itu, saya juga akan sentiasa menggunakan mandat rakyat dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Bersama Komuniti di Rumah Tambi Luat, Nanga Dasu, baru-baru ini.
Pada program tersebut, sejumlah keseluruhan RM48,000 disalurkan kepada beberapa rumah panjang dan Biro Wanita bagi membantu memenuhi keperluan serta kegunaan komuniti setempat.
Antara penerima bantuan ialah Rumah Tambi, Rumah Tulor, Rumah Siti Rosmawati, Rumah Bulu, Rumah Nyangtong, Biro Wanita Rumah Tambi dan Biro Wanita Rumah Tulor.
Jelasnya, selain bantuan secara langsung kepada komuniti, beliau akan terus berusaha membawa projek pembangunan menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan tersebut.
“Kira-kira RM4 juta peruntukan projek daripada Kerajaan Persekutuan setiap tahun dimanfaatkan untuk melaksanakan pelbagai projek yang diperlukan masyarakat di kawasan Parlimen Julau.
“Pendekatan turun padang dari satu kawasan ke kawasan lain penting bagi membolehkan saya mengenal pasti keperluan rakyat dan mencari projek yang sesuai untuk komuniti setempat,” katanya.
Pada masa sama, Larry menegaskan bahawa perbezaan politik atau ideologi tidak seharusnya mempengaruhi usaha membantu masyarakat dan membawa pembangunan.
“Politik patut dijadikan plaform untuk membantu dalam pembangunan kawasan dan ia harus memberi memberi keuntungan kepada rakyat, bukan hanya berdasarkan ideologi politik yang berbeza,” katanya lagi.
Menurutnya, pembangunan dan manfaat yang dapat dirasai masyarakat perlu menjadi pertimbangan utama dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab berkhidmat kepada masyarakat perlu diteruskan secara konsisten tanpa mengira perubahan kedudukan politik.
“Pekara yang paling penting ialah saya akan terus bekerja untuk rakyat bagi memastikan pembangunan sampai ke Julau,” tambahnya.
Larry berkata, usaha mendapatkan peruntukan, menyalurkan bantuan serta mengenal pasti projek yang diperlukan masyarakat akan diteruskan bagi memastikan komuniti di seluruh kawasan Parlimen Julau mendapat manfaat daripada pembangunan.
Oleh Earl Anek




