Teater Sarawak perlu terus lahirkan karya beridentiti tempatan

Facebook
WhatsApp
MOHD Radzi Omar menyampaikan ucapan pada majlis perasmian penutupan Festival Teater Malaysia Zon Sarawak 2026 di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak, Petra Jaya. Foto Nadya Victoria

PETRA JAYA, 5 Oktober: Penggiat teater Sarawak perlu terus menghasilkan karya yang berakar pada identiti tempatan dengan menjadikan kekayaan alam, warisan, tradisi dan pengalaman masyarakat sebagai sumber ilham.

Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Radzi Omar berkata, kepelbagaian budaya, bahasa, adat dan warisan Sarawak menyediakan ruang luas kepada penggiat untuk mengangkat naratif tempatan melalui karya seni persembahan.

Menurutnya, tema Festival Teater Malaysia (FTM) Zon Sarawak 2026, ‘Naratif Sungai, Hutan dan Manusia’, membawa makna yang dekat dengan sejarah, kebudayaan dan jati diri masyarakat negeri ini.

“Sungai bukan sekadar jalur kehidupan, hutan bukan hanya khazanah alam dan manusia bukan sekadar penghuni bumi.

“Ketiga-tiganya merupakan unsur yang saling berhubung dalam membentuk sejarah, peradaban, kebudayaan dan jati diri masyarakat Sarawak,” katanya.

RAKAM kenangan barisan pemenang Festival Teater Malaysia Zon Sarawak 2026 selepas majlis penutupan. Foto Adele Rissa

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Festival Teater Malaysia (FTM) Zon Sarawak 2026 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, di sini, malam tadi.

Mohd Radzi berkata, tema berkenaan memberi peluang kepada penggiat menjadikan kekayaan alam, warisan, tradisi dan pengalaman masyarakat sebagai asas penghasilan karya yang mempunyai identiti tempatan, namun pada masa sama mampu membawa nilai serta daya tarikan sejagat.

Katanya, teater mempunyai peranan penting dalam mengangkat suara masyarakat tempatan selain merakam pengalaman dan kebijaksanaan generasi terdahulu untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

“Melalui teater, naratif ini dapat dihidupkan, ditafsirkan dan diwariskan sebagai sebahagian daripada khazanah kebudayaan negara,” ujarnya.

Festival yang berlangsung dari 28 September hingga semalam itu menampilkan tujuh kumpulan dengan karya masing-masing, sekali gus memperlihatkan potensi dan keupayaan kreatif penggiat teater Sarawak.

Jelas beliau, setiap karya yang dipersembahkan merupakan hasil proses pemikiran, penelitian, disiplin, pengorbanan dan kerja berpasukan yang wajar terus dibimbing serta diperkasakan.

Menurutnya, bakat sahaja tidak mencukupi untuk memastikan kelangsungan perjalanan seseorang seniman kerana kesungguhan, ketekunan dan kesediaan untuk terus belajar turut menjadi asas kepada perkembangan kesenimanan.

Dalam pada itu, beliau berkata penggiat teater perlu terus memperluas daya imaginasi, meneroka pendekatan baharu dan menghasilkan karya yang berani, segar, kritis serta mempunyai kekuatan intelektual dan identiti tersendiri.

Katanya, pembangunan seni dan budaya juga memerlukan kerjasama berterusan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, agensi kebudayaan, institusi pendidikan, organisasi seni dan masyarakat.

“Ekosistem seni yang kukuh bukan hanya bergantung pada jumlah program yang dilaksanakan, tetapi juga pada kualiti pembinaan bakat, kesinambungan peluang berkarya, keupayaan institusi serta keberkesanan kerjasama yang diwujudkan,” tegasnya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Majlis Seni Sarawak, DBP Cawangan Sarawak, Persatuan Anak Seni Sape’ Kuching (PUSAK) dan semua pihak yang terlibat menjayakan festival berkenaan.

Beliau berharap Festival Teater Malaysia Zon Sarawak terus menjadi wadah melahirkan bakat baharu, memperkukuh ekosistem seni persembahan serta mengangkat suara dan identiti masyarakat Sarawak ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Oleh Adele Rissa