
-Foto kredit JKR
MIRI: Majlis Pecah Tanah bagi Projek Waterfront Bekenu di Kampung Rambai hari ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak), Datuk Rosey Yunus.
Menurut beliau, projek ini bertujuan menaik taraf kawasan tebing sungai di Kampung Rambai dengan pembangunan kemudahan rekreasi moden yang bersifat mesra komuniti.
“Dengan adanya projek ini, Bekenu bakal memiliki sebuah tarikan baharu yang bukan sahaja memberikan manfaat kepada masyarakat setempat, malah turut berpotensi menarik lebih ramai pelancong ke kawasan ini,” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.
Projek Waterfront Bekenu dijangka dapat merancakkan aktiviti ekonomi setempat, meningkatkan taraf kehidupan penduduk, serta membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan.
Semua pihak digesa supaya memberikan kerjasama padu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek itu, yang dilihat sebagai satu pelaburan penting ke arah pembangunan mampan kawasan luar bandar di Sarawak.