KUCHING: Cubaan seorang lelaki dan seorang wanita warga asing meloloskan diri daripada pemeriksaan dengan bersembunyi di dalam longkang gagal apabila tindakan mereka dikesan anggota Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak.
Kedua-duanya dikesan ketika pelaksanaan Ops Selera dan Ops Kutip yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Kuching, semalam.
Menurut JIM Sarawak, operasi bermula pada 10.00 pagi dan berakhir pada tengah malam, dengan pemeriksaan dilakukan di tujuh lokasi termasuk Westfield Points, Jalan Tun Hussein Onn, Pekan Batu 10 dan Kota Sentosa.

Pemeriksaan melibatkan premis kedai makan serta beberapa premis yang disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian dalam talian.
Sepanjang operasi, beberapa individu turut cuba melarikan diri bagi mengelak pemeriksaan, namun berjaya ditahan anggota penguat kuasa.

Secara keseluruhan, seramai 48 individu diperiksa, dengan 43 daripadanya ditahan untuk tindakan lanjut, manakala satu saman saksi turut dikeluarkan.
Operasi berkenaan dilaksanakan berdasarkan maklumat dan aduan orang awam serta hasil risikan JIM Kuching.
Kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Mereka kemudian dibawa untuk tindakan dan siasatan lanjut.
JIM Sarawak memaklumkan operasi penguatkuasaan berasaskan risikan akan terus dipergiatkan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.





