BINTULU: Kira-kira 10.9 kilometer laluan kritikal di sepanjang Jalan Persekutuan FT803 Bintulu-Bakun dicadangkan untuk kerja pembaikan melibatkan anggaran kos RM29.4 juta.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan berkenaan dikenal pasti berdasarkan keadaan jalan dan tahap kerosakan semasa yang memerlukan perhatian serta tindakan susulan.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas meninjau beberapa lokasi kerja yang telah siap di sepanjang laluan FT803 Bintulu-Bakun, hari ini.
Menurutnya, hasil tinjauan itu turut membolehkan beliau melihat sendiri beberapa seksyen yang masih memerlukan kerja pembaikan lanjut.
“Cadangan ini masih belum diluluskan dan melibatkan beberapa seksyen yang dikenal pasti memerlukan perhatian berdasarkan keadaan jalan serta tahap kerosakan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, keutamaan kerja pembaikan perlu ditentukan berdasarkan keadaan sebenar di lapangan, tahap kerosakan serta kepentingan setiap seksyen kepada pengguna jalan raya.
Nanta berkata, laluan FT803 turut berdepan cabaran daripada penggunaan kenderaan berat, khususnya kenderaan yang membawa muatan melebihi had.
Katanya, Kementerian Kerja Raya (KKR) sebelum ini mengenal pasti kenderaan berlebihan muatan sebagai antara faktor yang boleh mempercepatkan kerosakan struktur turapan di laluan Bintulu-Bakun.
“Namun, kenderaan berat ini masih perlu menggunakan laluan ini bagi memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi di kawasan ini yang turut melibatkan rakyat setempat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, usaha penyelenggaraan tidak seharusnya tertumpu kepada kerja pembaikan semata-mata, sebaliknya pemantauan terhadap laluan yang telah dibaiki perlu dilaksanakan secara berterusan.

Beliau berkata, faktor yang menyumbang kepada kerosakan jalan juga perlu ditangani bagi memastikan jangka hayat jalan dapat dipanjangkan.
“Matlamat akhirnya tetap sama, iaitu untuk memastikan pengguna FT803 menikmati perjalanan yang lebih selamat, selesa dan lancar,” katanya.
Oleh Faizah Muzidi



