PETRA JAYA: Sebanyak 19 projek pembangunan dengan siling peruntukan berjumlah RM49 juta disenaraikan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong, dengan pelaksanaan melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah Saratok (MDS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, perkara itu dibincangkan ketika beliau menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Pertapakan di Bilik Jawatankuasa 2, Aras 3, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Petra Jaya, semalam.
Beliau berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) itu memberi tumpuan kepada status pertapakan dan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan DUN Kabong.
“Berdasarkan pembentangan, sebanyak 19 projek melibatkan DUN Kabong, iaitu 16 projek di bawah JKR dan tiga projek di bawah MDS, daripada keseluruhan 49 projek yang melibatkan lapan kawasan DUN di Bahagian Betong,” katanya.
Antara projek utama yang disenaraikan termasuk pembinaan baharu dan naik taraf kemudahan di Pantai Tanjung Kembang, Pusat Penjaja Pantai Gerigat, Anjung Selera dan Inap Desa Persatuan Nelayan Kawasan Kabong serta Pejabat Operasi Unit Saudara Kita Nyabor.
Turut diberi perhatian ialah pembinaan Terminal Bot di Sungai Endot dan Kampung Emplam, Jeti Nelayan Kampung Gerigat, Dewan Masyarakat Kampung Nyabor serta RC Ramp di Kampung Hilir Laut.
Selain itu, beberapa projek membabitkan pembinaan dewan masyarakat kampung dan rumah panjang turut disenaraikan, dengan Lokasi terlibat antaranya Kampung Alit, Kampung Gerigat, Kampung Emplam dan Kampung Sessage serta beberapa kawasan rumah panjang di Kabong dan Ulu Roban.
Menurut Chee Kadir, status pelaksanaan projek ketika ini adalah berbeza, dengan sebahagiannya masih berada pada peringkat “belum mohon”, manakala beberapa projek lain bersatus “menunggu kelulusan”.
Antara projek yang masih menunggu kelulusan termasuk pembangunan di Pantai Tanjung Kembang, Jeti Nelayan Kampung Gerigat dan RC Ramp Kampung Hilir Laut.
Beliau berharap isu berkaitan pertapakan yang dikemukakan agensi pelaksana dapat disegerakan dan diselaraskan bersama pihak berkaitan supaya proses seterusnya berjalan dengan lebih lancar.
“Setiap projek perlu diberi perhatian dari segi status dan proses pelaksanaannya agar perancangan pembangunan yang telah disenaraikan dapat diteruskan mengikut proses serta ketetapan yang ditetapkan,” katanya.
Dengan nilai keseluruhan RM49 juta, projek berkenaan dilihat merangkumi pelbagai aspek keperluan setempat termasuk kemudahan awam, infrastruktur, aktiviti nelayan dan pembangunan komuniti di DUN Kabong.
Oleh Adi Safarman





