KUCHING: Pengarah Hal Ehwal Universiti DAPSY Sarawak, Arlena Wee Shi Ying, menggesa langkah segera diambil bagi menangani masalah parkir dan keselamatan yang dihadapi pelajar di Universiti Teknologi Swinburne Sarawak.
Beliau berkata pihak universiti sepatutnya meneroka penyelesaian alternatif bagi menangani isu parkir sebelum pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), sambil mengakui pembinaan parkir bertingkat tidak dapat dilakukan dalam masa yang singkat.
“Pelajar perlu tahu apakah langkah praktikal yang akan diambil sementara menunggu penyelesaian jangka panjang. Walaupun universiti menjadikan Transit Aliran Autonomi (ART) sebagai salah satu penyelesaian, berapa lama pelajar perlu menunggu dan sejauh mana ia mampu menangani masalah parkir semasa?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara cadangan beliau ialah supaya Swinburne mempertimbangkan pengecualian bayaran parkir bagi pelajar sekiranya kemudahan parkir yang mencukupi dan selamat tidak dapat disediakan.
Katanya, pelajar kini dikenakan bayaran RM1.06 sejam dengan kadar maksimum RM6.36 sehari, manakala kos parkir bulanan boleh mencecah kira-kira RM180. Pas bermusim pula berharga RM63.60 sebulan berbanding kadar MBKS sebanyak RM42.40.
Wee turut menggesa Datuk Bandar MBKS, Wee Hong Seng, membawa perkara itu kepada PayNGo bagi meneroka penyelesaian yang dapat meringankan beban pelajar.
Beliau turut mencadangkan supaya Swinburne meningkatkan rondaan keselamatan, khususnya pada waktu puncak, bagi membantu mengawal kesesakan serta mengelakkan kenderaan menghalang pintu masuk dan persimpangan.
“Sebarang dakwaan berhubung rondaan keselamatan yang tidak berkesan perlu disiasat dengan sewajarnya, manakala anggota keselamatan perlu mengambil pendekatan lebih proaktif dalam memastikan keselamatan trafik,” katanya.
Wee turut mencadangkan pemasangan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan selekoh terlindung, di seluruh kampus serta di kawasan luar parkir bertingkat.
Menurutnya, sistem pengawasan yang lebih menyeluruh dapat membantu siasatan kemalangan dan kes langgar lari, khususnya apabila pelajar terpaksa menanggung sendiri kos berkaitan kemalangan kerana kekurangan bukti untuk mengenal pasti pihak bertanggungjawab.
Beliau juga menggesa Swinburne menyediakan mekanisme aduan dan tindakan susulan yang lebih berkesan bagi memastikan pertikaian antara pemandu, termasuk kes kerosakan kenderaan, dapat ditangani dengan sewajarnya.
“Pelajar tidak seharusnya dibiarkan tanpa tindakan hanya kerana sesuatu kejadian melibatkan calar pada kenderaan. Jika sesuai dan dibenarkan di sisi undang-undang, rakaman CCTV perlu disediakan bagi membantu siasatan dan penyelesaian pertikaian,” katanya.
Wee turut menggesa Kerajaan Sarawak, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, dan Datuk Bandar MBKS, Wee Hong Seng, yang mempunyai hubungan kerja rapat dengan PayNGo, menangani kebimbangan berhubung situasi parkir di Swinburne.
“Pelajar berhak mendapat lebih daripada janji mengenai penyelesaian pada masa hadapan. Mereka berhak mendapat komunikasi yang telus, langkah sementara yang praktikal serta tindakan bermakna bagi menangani isu parkir dan keselamatan mereka,” katanya.





