
JULAU: Karnival Sukan Rakyat Peringkat Parlimen Julau membuka peluang kepada pasukan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang menguji kekuatan fizikal serta semangat berpasukan menerusi pertandingan tarik tali kategori campuran yang dijangka berlangsung pada Mei ini.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, pertandingan tersebut melibatkan penyertaan komuniti rumah panjang dari Daerah Julau dan Pakan dan dijangka menjadi antara acara paling mencuri tumpuan dalam karnival tersebut.
“Peringkat saringan pertandingan dijadualkan berlangsung pada 16 Mei ini bermula 7.00 pagi di dua lokasi berasingan iaitu Padang MDMJ Julau bagi peserta Daerah Julau dan Kompleks Sukan Pakan bagi peserta dari Daerah Pakan.
“Sebanyak 16 pasukan terbaik daripada peringkat saringan akan mara ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 23 Mei di Padang MDMJ Julau bermula 8.00 pagi,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Katanya, setiap pasukan dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM150 dan perlu terdiri daripada 10 peserta termasuk sembilan pemain utama dan seorang simpanan dengan komposisi enam lelaki dan sekurang-kurangnya tiga wanita.
Jelas Larry, jumlah keseluruhan berat pasukan juga ditetapkan tidak melebihi 680 kilogram dan semua peserta diwajibkan menjalani proses penimbangan sebelum pertandingan bermula.
“Dari segi peraturan, pertandingan akan dijalankan secara ‘long pull’ dengan format maksimum tiga tarikan dan pasukan yang memenangi dua tarikan akan dikira sebagai pemenang.
“Peserta juga tidak dibenarkan memakai kasut semasa pertandingan, manakala setiap perlawanan akan dikendalikan oleh tiga pengadil dengan keputusan adalah muktamad,” katanya lagi.
Larry berharap penganjuran karnival tersebut dapat mengeratkan hubungan komuniti rumah panjang selain memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan itu boleh menghubungi Angela di talian 014-688 7828 bagi kawasan Julau atau Kevin Jampang di talian 013-832 6927 bagi kawasan Pakan untuk maklumat lanjut dan pendaftaran.
Oleh Earl Anek