Tanjung Datu berpotensi jadi hab pelancongan kesihatan Sarawak – Nancy Shukri

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Nancy Shukri ketika berucap pada Majlis Penangguhan Regata Batang Kayan Lundu 2026 di Tebingan Lundu.

LUNDU: Kawasan Tanjung Datu, khususnya Lundu dan Sematan, berpotensi menjadi sebahagian daripada hab pelancongan kesihatan di Sarawak menerusi pembangunan sektor pelancongan yang turut memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.

Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, potensi itu perlu diterokai secara menyeluruh dengan menyediakan masyarakat tempatan untuk mengambil peluang daripada perkembangan sektor pelancongan dan perkhidmatan berkaitan.

Katanya, pembangunan berkenaan bukan sahaja memerlukan kemudahan infrastruktur, malah turut menuntut peningkatan kemahiran dan kapasiti penduduk supaya mereka mampu menjadi pengusaha serta tenaga kerja mahir.

“Saya mengharapkan sokongan Yang Amat Berhormat Premier dan kerajaan Sarawak agar potensi ini dapat diterokai bersama.

“Harapan kami adalah untuk melihat Tanjung Datu khususnya, dan Parlimen Santubong amnya, menjadi sebahagian daripada perkembangan hab pelancongan kesihatan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Regata Batang Kayan Lundu 2026 di Tebingan Lundu, hari ini.

Nancy, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata pembangunan sektor pelancongan di kawasan berkenaan perlu disokong dengan latihan dalam bidang seperti penjagaan (caregiving) bagi memenuhi keperluan golongan yang memerlukan perhatian, termasuk warga emas, kanak-kanak dan individu berkeperluan khas.

Katanya, usaha memperkasakan kemahiran penduduk juga dapat membuka ruang kepada mereka menjana pendapatan melalui kemahiran yang dimiliki.

“Anak-anak kita perlu belajar untuk monetize, apa yang boleh menjana pendapatan untuk mereka daripada kemahiran dan hasil mereka,” katanya.

Menurutnya, potensi pelancongan di kawasan Parlimen Santubong tidak terhad kepada Lundu dan Sematan, sebaliknya merangkumi Telok Melano, Santubong, Damai, Buntal, Bako hingga Muara Tebas.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melakukan gimik penangguhan Regata Batang Kayan Lundu 2026 di Tebingan Lundu, yang disaksikan Dato Sri Nancy Shukri, ADUN N.3 Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan serta ADUN N.6 Tupong Datuk Fazzrudin Abdul Rahman.

Katanya, pembangunan kawasan itu perlu dirancang berdasarkan enam teras, iaitu infrastruktur; kapasiti dan modal insan; sosioekonomi; komuniti dan kesejahteraan rakyat; belia, sukan dan kesukarelawanan; serta kerohanian dan nilai.

“Apabila sesuatu kawasan itu dibangunkan, masyarakat sendiri perlu bersedia. Kita tidak mahu apabila sesuatu kawasan itu dibangunkan, masyarakat belum bersedia.

“Sebab itu kita perlu mengatur perancangan mengikut keperluan setiap kawasan,” katanya.

Nancy berkata, pertumbuhan sektor pelancongan turut memberi peluang kepada penduduk tempatan meneroka bidang penginapan, penyediaan makanan dan pelbagai perkhidmatan sokongan.

Katanya, perkembangan kemudahan penginapan di kawasan Lundu menjadi antara petanda awal bahawa sektor pelancongan mempunyai ruang untuk terus berkembang.

“Apabila penduduk turut menjadi pengusaha dan tenaga kerja mahir, pembangunan ini dapat menambah pendapatan keluarga serta mengukuhkan ekonomi masyarakat,” katanya.

Beliau turut melihat penganjuran Regata Batang Kayan sebagai antara platform yang dapat mengetengahkan warisan dan keindahan alam Lundu kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Katanya, kehadiran pengunjung bukan sahaja memeriahkan acara, malah membuka peluang kepada pengusaha penginapan, makanan dan perkhidmatan tempatan menambah pendapatan.

Regata Batang Kayan Lundu 2026 berlangsung selama tiga hari dari 25 hingga 27 September dan menyasarkan kehadiran sekitar 30,000 pengunjung.

Majlis penangguhan itu disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir ialah ADUN N.3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan dan ADUN N.6 Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman.

Oleh Afiq Sallehi