KRIAN: Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk berhati-hati ketika melalui jalan di Belaong, Awik berikutan berlakunya kejadian tanah jerlus di jalan terbabit, hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata Bilik Gerakan APM menerima panggilan sekitar jam 9.20 pagi berhubung kejadian tersebut.
Tiga anggota APM Daerah Saratok diketuai Prebet Jeffery Kedit bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan itu.
“Setibanya di lokasi kejadian, anggota APM mendapati tanah susur berlaku melibatkan jalan utama yang digunakan oleh penduduk kampung di Belaong, Awik.
“Kejadian tanah susur tersebut mengakibatkan laluan jalan utama sebelah kiri tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan, manakala laluan sebelah kanan dapat dilalui oleh kenderaan ringan sahaja,” katanya.
Nur Athirah berkata tanah susur tersebut terjadi akibat tanah mendap dan hakisan air sungai, dan anggota APM Saratok turut memasang pita keselamatan dan tanda amaran di lokasi tanah runtuh.
“Penduduk di sekitar kawasan berkenaan adalah diminta untuk menghubungi talian Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Saratok di talian 083-436094 atau 0113-1413012 sekiranya berlaku sebarang kecemasan,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN