KOTA SAMARAHAN: Sarawak bersedia menjadi tulang belakang kepada penyelidikan potensi dan kepentingan tanah gambut terhadap perkembangan ekonomi.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata,Sarawak akan menjalankan penyelidikan lanjut terhadap tanah gambut menerusi penggunaan teknologi terkini.
“Penyelidikan saintifik adalah sangat penting dalam usaha untuk mendapatkan bukti yang saintifik,terutamanya untuk membuktikan
mana yang betul dan mana yang salah.
“Oleh itu, kita akan menggunakan teknologi AI (Artificial Intelligence)
dan analitik data (data analytic) sebagai medium kepada penyelidikan ini.
“Melalui data yang kita kumpulkan ini, kita boleh menggunakanya untuk mendapatkan penyelesaian yang tertentu,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 Malaysian Peat Society di Institut Penyelidikan Tanah Gambut
Sarawak (TROPI) di sini, malam kelmarin.
Abang Johari menjelaskan,hasil penyelidikan ini akan membantu dalam menjadikan tanah gambut sebagai sebahagian pembangunan ekonomi di negeri ini.
“Kita di sini (Sarawak) tidak boleh mengelak untuk membina infrastruktrur seperti jalan raya,jambatan, malah mendirikan kediaman pun di atas tanah gambut.
“Inilah sebab kenapa kita memperuntukkan dana untuk menjalankan penyelidikan berkaitan tanah gambut, dan saya yakin TROPI akan berjaya menggalas tugasan ini,” jelasnya.
Dalam hal berkaitan, Abang Johari berkata, hasil penyelidikan saintifik ini diyakini dapat membuktikan tanah gambut bukan penyebab utama pengeluaran karbon (carbon emision).
“Sarawak sangat komited dalam menggunakan tenaga hijau dan sekarang sedang bergerak ke arah penggunaan tenaga yang tidak mencemarkan persekitaran.
“Sebab itu kita mempromosikan penggunaan teknologi tenaga hidrogen, malah kita adalah yang pertama yang mempunyai prototaip pelan penghasilan tenaga berasaskan air ini di Asia Tenggara,”ujarnya lagi.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP