SIBU, 14 November: Penubuhan sebuah pihak berkuasa khas dicadangkan bagi menyelia dan menyelaras pembangunan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Sibu, termasuk memastikan pelaksanaan pelan induk pembangunan bandar itu berjalan secara terancang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan SEZ Sibu memerlukan perancangan menyeluruh yang mengambil kira keperluan infrastruktur, pengurusan banjir dan kesesakan lalu lintas.
Menurutnya, pelaksanaan SEZ bukan sahaja berpotensi menarik pelaburan menerusi pelbagai insentif, khususnya dalam aspek percukaian, malah mampu memperkukuh kedudukan Sibu sebagai hab perdagangan strategik di bahagian tengah Sarawak.
“Melalui penubuhan Zon Ekonomi Khas ini, kita berharap pelbagai insentif dapat diberikan, termasuk insentif percukaian.
“Insentif tersebut akan membolehkan kita melaksanakan pelan induk pembangunan yang menyeluruh bagi Sibu serta memperkukuh kedudukannya sebagai hab perdagangan strategik yang penting di bahagian tengah Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-20 Pusat Agape Sibu dan Upacara Penamaan Bangunan Baharu Persatuan Autisme Sibu (SAA) di Jalan Alan, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, pembangunan semula bandar Sibu turut memerlukan penyusunan semula aktiviti perindustrian bagi memastikan kawasan pusat bandar dapat dibangunkan dengan lebih teratur dan selesa.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya aktiviti perkilangan dan perindustrian ditempatkan di luar kawasan pusat bandar bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk penduduk serta menyokong aktiviti ekonomi.
Katanya, model Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta pembangunan Iskandar Malaysia boleh dijadikan rujukan dalam usaha membangunkan SEZ Sibu.
Cadangan penubuhan SEZ Sibu sebelum ini telah dikemukakan oleh kerajaan negeri kepada Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi dan Perdana Menteri sebelum mendapat persetujuan pada dasarnya daripada Kerajaan Persekutuan, seperti yang diumumkan menerusi Belanjawan.
Pada majlis itu, Abang Johari turut merasmikan bangunan baharu SAA yang dinamakan Wisma Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang sempena nama Allahyarham isterinya.
Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang; Ahli Pengasas Pusat Agape Sibu, Dato Sri Wong Soon Koh serta kenamaan lain.
Oleh Tarani Lanting





