AirBorneo buka laluan terus Kuching-Jakarta, perkukuh hubungan dua hala

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika melepaskan penerbangan sulung AirBorneo ke Jakarta. Foto Ukas

JAKARTA, 14 November: AirBorneo Airways Sdn Bhd (AirBorneo) memulakan operasi penerbangan terus Kuching-Jakarta semalam, sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara Sarawak dengan Indonesia.

Penerbangan sulung MY396 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching selamat mendarat di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di sini dan disambut dengan upacara semburan air.

Penerbangan berkenaan dilepaskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kuching sebelum delegasi Sarawak disambut oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan Republik Indonesia serta Timbalan Menteri Pemasaran, Kementerian Pelancongan Republik Indonesia sebaik tiba di Jakarta.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin berkata, laluan berkenaan bukan sahaja memperluas rangkaian penerbangan syarikat, malah menjadi penghubung bagi menggalakkan pergerakan masyarakat, pelancong dan komuniti perniagaan antara kedua-dua destinasi.

Beliau berkata, Jakarta merupakan destinasi pertama AirBorneo di Indonesia dan laluan ketiga yang menggunakan pesawat jet sejak Julai lalu.

Menurutnya, perkhidmatan itu diharap dapat memenuhi keperluan pengembara perniagaan, keluarga dan pelancong dari kedua-dua destinasi.

Laluan terus itu juga dijangka memudahkan pemimpin perniagaan, pelabur dan delegasi rasmi meneroka peluang perdagangan, pelaburan serta kerjasama tanpa perlu transit di bandar ketiga.

Dari sudut pelancongan, pelawat dari Indonesia berpeluang meneroka pelbagai tarikan di Sarawak termasuk tapak Warisan Dunia UNESCO, hutan hujan tropika dan festival kebudayaan, manakala penduduk Borneo mendapat akses terus kepada kepelbagaian kulinari, fesyen dan industri kreatif di Jakarta.

Selain itu, perkhidmatan berkenaan berpotensi menyokong sektor pelancongan kesihatan Sarawak dengan memudahkan pesakit dari Indonesia mendapatkan rawatan pakar, pemeriksaan diagnostik serta pendapat perubatan kedua di negeri ini.

Ketiadaan keperluan untuk transit juga menawarkan perjalanan yang lebih selesa kepada warga emas dan pesakit yang sedang menjalani proses pemulihan.

Laluan Kuching-Jakarta beroperasi tiga kali seminggu, iaitu setiap Isnin, Jumaat dan Ahad, menggunakan pesawat Boeing 737-800 yang menyediakan 12 tempat duduk Kelas Perniagaan dan 150 tempat duduk Kelas Ekonomi.

Penerbangan MY396 berlepas dari Kuching pada 3.10 petang dan tiba di Jakarta pada 4 petang waktu tempatan, manakala penerbangan pulang MY397 berlepas dari Jakarta pada 4.55 petang dan tiba di Kuching pada 7.45 malam.

Tambang sehala dari Kuching bermula RM399 bagi Kelas Ekonomi dan RM888 bagi Kelas Perniagaan, manakala tambang dari Jakarta masing-masing bermula IDR1,750,000 bagi Kelas Ekonomi dan IDR3,880,000 bagi Kelas Perniagaan.

Tambang berkenaan merangkumi bagasi daftar masuk, pemilihan tempat duduk dan hidangan sepanjang penerbangan.

Tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang rasmi www.airborneo.com, aplikasi mudah alih AirBorneo, pejabat jualan tiket serta ejen pelancongan yang dilantik.

Penumpang di Indonesia juga boleh membuat pembayaran dalam mata wang Rupiah menerusi saluran pembayaran digital tempatan.