KUCHING, 13 November: Usahawan Sarawak perlu beralih daripada sekadar menjadi pengguna teknologi kepada pencipta inovasi dan produk sendiri bagi memastikan mereka mampu bersaing dalam ekonomi global yang semakin berkembang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan landskap ekonomi dunia yang kini dipacu kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan automasi memerlukan komuniti perniagaan tempatan menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.

Menurutnya, Sarawak mempunyai kekuatan dalam sektor tenaga dan data yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan industri baharu serta meningkatkan daya saing perusahaan tempatan.
“Kita mesti menjadi pencipta inovasi dan teknologi. Kita tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi.

“Kita perlu menghasilkan produk sendiri melalui inovasi, termasuk produk hijau yang dihasilkan menggunakan proses mesra alam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-75 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) serta Anugerah Usahawan Terbaik Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.
Abang Johari berkata, kerajaan negeri telah mengambil langkah membangunkan keupayaan teknologi tempatan menerusi industri semikonduktor, termasuk menghasilkan cip sendiri melalui kepakaran saintis Sarawak.
Katanya, pencapaian itu membuktikan Sarawak mempunyai potensi untuk membangunkan teknologi sendiri dan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada inovasi dari luar.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan melalui pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang berkemahiran tinggi serta mampu menyertai industri masa depan.
“Pada masa kini, kejayaan ekonomi bukan lagi bergantung semata-mata kepada tanah, tenaga kerja dan modal, sebaliknya kepada keupayaan pemikiran serta pengetahuan manusia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu kerjasama antara kerajaan negeri dengan komuniti perniagaan termasuk SCCI, dewan perniagaan Cina, Bumiputera dan Dayak terus diperkukuh bagi mencari penyelesaian serta memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Beliau berkata, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan usahawan tempatan dapat memanfaatkan peluang daripada perkembangan ekonomi baharu, khususnya dalam bidang teknologi, tenaga dan inovasi.
Oleh Norman B




