SARIKEI, 14 November: Setiap anak di Sarikei, sama ada di bandar, kampung mahupun rumah panjang, perlu mendapat peluang pendidikan yang saksama tanpa dibatasi kekangan kewangan, jarak atau kekurangan kemudahan pembelajaran.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, usaha memperkasakan pendidikan perlu memberikan perhatian kepada keperluan murid di semua kawasan, termasuk akses internet dan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Katanya, peluang mendapatkan pendidikan berkualiti amat penting bagi memastikan generasi muda Sarikei mampu mengembangkan potensi diri dan bersaing pada peringkat lebih tinggi.
“Kepada seluruh murid, daripada bandar hingga ke pedalaman, pekan hingga ke rumah panjang dan kampung, saya ingin anda tahu bahawa anda tidak dilupakan.
“Saya berharap setiap anak Sarikei dapat belajar dengan selesa, mempunyai akses kepada kemudahan pembelajaran yang baik termasuk capaian internet dan tidak berhenti belajar kerana kekangan kewangan atau jarak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pensijilan Tamat Tingkatan Lima Tahun 2026 dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Baru di Dewan Sri Sarikei, hari ini.

Seramai 152 murid Tingkatan Lima layak menerima sijil tamat persekolahan pada majlis tersebut yang turut meraikan pencapaian pelajar dalam bidang akademik, kepimpinan dan kokurikulum.
Yusuf berkata pembangunan Sarawak memerlukan generasi muda yang bukan sahaja memiliki pengetahuan dan kemahiran, malah mempunyai keberanian untuk meneroka peluang dalam pelbagai bidang.
Beliau berharap anak Sarikei mampu menguasai bidang sains, teknologi dan bahasa, serta berupaya bersaing pada peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa tanpa melupakan asal usul serta jati diri mereka.
“Saya berharap suatu hari nanti, anak-anak ini kembali membangunkan Sarikei sebagai doktor, guru, jurutera, usahawan dan pemimpin masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Yusuf turut menitipkan empat pesanan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi.
Beliau mengingatkan pelajar supaya terus berdoa dan berusaha, menjaga kesihatan serta mendapatkan rehat yang mencukupi, menghormati ibu bapa dan guru, selain berani memasang cita-cita besar.
Tambahnya, kejayaan seseorang murid bukan hanya bergantung pada pencapaian akademik, tetapi turut dipengaruhi disiplin, ketabahan dan nilai murni yang diamalkan sepanjang kehidupan.
Beliau turut mengingatkan murid supaya menghargai pengorbanan keluarga yang menjadi pendorong penting kepada kejayaan mereka.
Katanya, setiap murid membawa harapan keluarga masing-masing, termasuk ibu bapa yang bekerja keras serta memberikan sokongan sepanjang tempoh persekolahan.
Yusuf turut merakamkan penghargaan kepada guru atas kesabaran, dedikasi dan pengorbanan mereka dalam mendidik dan membimbing pelajar sehingga mencapai kejayaan.
Pada masa sama, beliau menekankan bahawa usaha meningkatkan mutu pendidikan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat.
“Harapan ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama kita semua, kerajaan, sekolah, ibu bapa dan masyarakat.
“Saya berjanji akan terus menyokong usaha memperkasakan pendidikan di kawasan ini sebaik mampu,” katanya.
Turut hadir Pengetua SMK Sarikei Baru, Abdul Gani Sibli Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Tang Ai Ling Pengerusi PIBG, Sudarmazi Joli dan Temenggong Awangku Ibrahim Awangku Hosain.
Oleh Earl Anek




