Sarawak sasar 5.1 juta pelawat menerusi pengukuhan pelancongan budaya pada 2027

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyampaikan teks ucapan Premier Sarawak pada Majlis Perasmian Festival Masyarakat Peribumi Borneo (BIF) 2026 di Hikmah Exchange, Kuching, malam ini.

KUCHING, 13 November: Sarawak menyasarkan ketibaan 5.1 juta pelawat dengan hasil pelancongan sebanyak RM14 bilion pada 2027 menerusi usaha memperkukuh pelbagai tarikan pelancongan, termasuk seni, budaya dan warisan masyarakat peribumi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penganjuran festival kebudayaan berkualiti mampu menyokong sasaran berkenaan menerusi peningkatan perbelanjaan pelawat dalam sektor penginapan, pengangkutan, makanan, kraftangan dan perkhidmatan kreatif.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Perasmian Festival Masyarakat Peribumi Borneo (BIF) 2026 di Hikmah Exchange, di sini, malam ini.

Menurutnya, industri kreatif mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak melalui seni persembahan, muzik, filem, kandungan digital, fesyen, reka bentuk dan kraftangan.

Katanya, penggiat seni dan usahawan kreatif tempatan perlu melihat warisan budaya sebagai satu kekuatan ekonomi yang boleh dikembangkan tanpa menghilangkan keaslian serta nilai asalnya.

Sehubungan itu, usaha meningkatkan kualiti produk, memperkukuh penjenamaan, memanfaatkan pemasaran digital dan meneroka pasaran lebih luas perlu diberikan perhatian.

Dalam usaha memperkasa sektor berkenaan, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM14 juta kepada Majlis Seni Sarawak menerusi Belanjawan Sarawak 2027 bagi menyokong pembangunan seni persembahan tempatan.

Sebanyak RM8 juta turut diperuntukkan kepada Majlis Kraf Sarawak untuk memperkasakan pengusaha kraf tempatan serta mengkomersialkan warisan kraf masyarakat peribumi.

Selain itu, peruntukan RM70 juta disediakan bagi mentransformasikan Bangunan Dewan Undangan Negeri lama menjadi Pusat Seni Persembahan Negeri sebagai kemudahan untuk menyokong persembahan, pembangunan bakat dan kegiatan seni.

Abang Johari berkata, pembangunan ekonomi Sarawak menjelang 2030 perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara identiti, nilai dan warisan budaya masyarakat.

Menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), seni, budaya dan warisan mempunyai peranan penting dalam menyokong pelancongan lestari, memperkukuh identiti wilayah serta mewujudkan peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

Beliau turut menegaskan bahawa khazanah budaya masyarakat peribumi tidak seharusnya dilihat sebagai bahan pameran semata-mata, sebaliknya perlu dikembangkan sebagai sumber ilmu, kreativiti dan peluang keusahawanan.

Pada masa sama, Festival Masyarakat Peribumi Borneo berpotensi berkembang sebagai platform kebudayaan bertaraf antarabangsa untuk memperkenalkan keunikan masyarakat peribumi Borneo kepada dunia.

Festival yang berlangsung dari 12 hingga 15 November itu turut melibatkan penyertaan kumpulan kebudayaan dari Sabah, Labuan dan Indonesia menerusi program seperti Echoes of Borneo.

Menurutnya, pertukaran budaya berkenaan dapat memperkukuh hubungan masyarakat serantau, selain membuka ruang kerjasama dalam pembangunan seni persembahan dan industri kreatif.

Beliau turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam mendokumentasikan serta memelihara warisan budaya, termasuk bahasa, muzik, tarian, seni dan adat tradisional.

Bagaimanapun, usaha pendigitalan warisan perlu dilaksanakan dengan penglibatan langsung komuniti yang memiliki pengetahuan berkenaan bagi memastikan dokumentasi yang dihasilkan menghormati adat, nilai dan sensitiviti masyarakat terbabit.

Beliau berharap Festival Masyarakat Peribumi Borneo terus berkembang sebagai platform penting untuk memelihara warisan, memperkukuh perpaduan serta mengangkat industri kreatif Sarawak ke peringkat antarabangsa.

Dalam perkembangan sama, Abdul Karim berkata, Festival Masyarakat Peribumi Borneo berpotensi diperluas ke peringkat antarabangsa menerusi perancangan penganjuran Festival Masyarakat Peribumi Sedunia pada tahun depan, sekali gus mengangkat acara itu ke tahap lebih besar.

Jelasnya, pembangunan Pusat Konvensyen Borneo Kuching 2 (BCCK 2) yang mampu menampung sehingga 10,000 delegasi kelak berpotensi menyediakan ruang lebih luas untuk pameran makanan, industri kreatif, kraftangan dan manik, selain penganjuran forum serta perkongsian ilmu.

Terdahulu, Sarawak mencatatkan sebanyak 4.97 juta ketibaan pelawat pada 2025 dengan anggaran hasil pelancongan sebanyak RM12.67 bilion.

Oleh Afiq Sallehi