SEBAUH, 28 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.69 Kemena, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom yakin pengundi mampu membuat pilihan berdasarkan penilaian terhadap perancangan dan usaha yang dibawa setiap calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Beliau berkata, pertandingan satu lawan satu bagi kerusi berkenaan menyaksikan beliau berdepan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Dr Bernard Tahim Bael.
Menurutnya, GPS bersedia menghadapi persaingan tersebut dan meneruskan perancangan pembangunan yang telah dilaksanakan serta projek yang masih dalam proses pelaksanaan.
Beliau berkata, usaha pembangunan berkenaan adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk membawa Sarawak ke tahap lebih baik menjelang 2030, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Harapan kami menjelang 2030 adalah untuk merealisasikan perancangan yang telah dibuat dan melihat Sarawak mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui media selepas proses penamaan calon di Sebauh, hari ini.
Mengulas landskap politik semasa, beliau turut menyentuh kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat Dayak serta menggesa semua pihak supaya memastikan persaingan pilihan raya berlangsung secara adil dan sihat.
Katanya, kempen pilihan raya seharusnya memberi ruang kepada setiap calon untuk menjelaskan perancangan serta tawaran masing-masing kepada pengundi tanpa perlu memburukkan atau menjatuhkan pihak lawan.
Beliau turut berharap masyarakat, khususnya masyarakat Dayak, dapat melihat kepentingan perpaduan dalam menghadapi perkembangan politik semasa.
“Kita tidak perlu memfitnah atau merendahkan sesiapa. Sebaliknya, beritahu pengundi tentang perancangan dan perkara yang ingin dilaksanakan,” katanya.
Stephen Rundi berkata, beliau yakin pengundi mempunyai kematangan untuk menilai setiap calon berdasarkan kemampuan, perancangan dan tawaran yang dikemukakan sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.
Oleh Faizah Muzidi




