SIMANGGANG: Daerah Sri Aman khususnya bandar Simanggang bakal memiliki estet perindustrian yang pertama menjelang September tahun hadapan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, projek fasa pertama estet perindustrian seluas 5.5 hektar bernilai RM5,132,452.50 itu siap dilaksana pada 25 Mac lepas.
“Projek fasa pertama Estet Perindustrian Sri Aman itu merangkumi kerja-kerja menimbus tanah (earth works) dan pembinaan benteng selesai dilaksana mendahului jadual asalnya.
“Kini, projek tersebut sudah pun memasuki fasa kedua iaitu pembinaan jalan, perparitan, sistem paip air dan rangkaian perhubungan telekomunikasi yang dijangka selesai sepenuhnya menjelang 9 September 2021,” kata beliau.
Awang Tengah bercakap pada sidang media sempena lawatan ke tapak projek Estet Perindustrian Sri Aman berdekatan Taman Vistagro di sini semalam berkata, projek fasa kedua itu menelan kos RM8,637,015.
Beliau turut menambah projek fasa kedua Estet Perindustrian Sri Aman akan menawarkan sejumlah 21 lot perniagaan bagi tujuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) apabila selesai dilaksanakan kelak.
“Kita juga akan mengadakan perbincangan bagi menentukan jenis perniagaan yang boleh dilaksanakan dalam estet perindustrian itu.
“Bagaimanapun Kerajaan Sarawak akan mempertimbang untuk memperbesarkan lagi estet itu jika terdapat permintaan tinggi daripada peniaga di sini,” katanya.
Justeru Awang Tengah berharap agar projek fasa kedua estet itu berjalan lancar dan siap pada tarikh ditetapkan demi merancakan lagi aktiviti ekonomi di sini.
Hadir sama Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Pembangunan dan Perindustrian, Datuk Dr Malcom Mussen Lamoh, Residen Sri Aman, Indit Bangai, Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee, dan Penguasa Tanah dan Survei Sri Aman, Dorris Synia Anthony Collin.
Kerajaan Sarawak pada 2018 meluluskan peruntukan sebanyak RM32.7 juta untuk kerja-kerja pembangunan taman perindustrian atau estet industri bagi kawasan Parlimen Sri Aman.
Estet Perindustrian Sri Aman itu dilaksana dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sambil melibatkan proses mengambil alih tanah bagi tujuan pelaksanaan projek tersebut.