MIRI: Waris kepada Dr Ainul Baroah Kamarudin, yang terlibat dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, tiba di Lapangan Terbang Miri pada 1.10 petang hari ini bagi membantu urusan pengesahan identiti mangsa.
Bapa Dr Ainul, Kamarudin Salleh, 69, tiba bersama isterinya, Rogayah Mohd Noor, 69, dan anak sulung mereka, Ainul Husna, 40.
Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada pagi tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa masih menjalankan urusan pengesahan identiti mangsa serta siasatan lanjut berhubung kejadian.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dijangka mengadakan sidang media pada 4.30 petang ini di Lapangan Terbang Miri.
Helikopter jenis BO-105 yang menjalankan perkhidmatan FDS dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, petang semalam.
Pesawat berkenaan membawa lima individu termasuk seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM).





