KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.
Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang hari ini, baginda berdua berharap seluruh ahli keluarga mangsa diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan serta kehilangan insan tersayang.
“Baginda berdua mendoakan agar segala urusan pengurusan jenazah semua mangsa dipermudahkan dan operasi pihak berkuasa berkaitan dapat dilaksanakan dengan lancar,” menurut hantaran itu.
Menurut hantaran itu, helikopter yang sedang menjalankan perkhidmatan doktor udara (PDU) itu membawa empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM), terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan dan dua jururawat, selain seorang juruterbang.
Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.- Bernama




