PGA Sarawak, MAHB perkukuh kesiapsiagaan hadapi kecemasan udara

Facebook
WhatsApp
KENANGAN…Jun Iskandar Morshidi (kiri) bersama SAC Datuk Lim Bak Phai merakam gambar kenangan selepas sesi libat urus di Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA, hari ini.

KUCHING: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam meningkatkan kesiapsiagaan serta pengurusan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAB).

Kerjasama itu diperkukuh menerusi kunjungan hormat dan sesi libat urus antara MAHB LTAB Kuching dengan Briged Sarawak PGA di Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA di sini, hari ini.

Delegasi MAHB LTAB Kuching diketuai Pengurus Kanan Lapangan Terbang, Jun Iskandar Morshidi bersama beberapa pegawai kanan pengurusan keselamatan lapangan terbang.

Briged Sarawak PGA pula diketuai Komandernya, SAC Datuk Lim Bak Phai bersama Timbalan Komander Briged Sarawak PGA, ACP Rusdi Inai dan Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Batu Kawah, Superitendan Ku Majidin Che Ku Jusoh serta pegawai kanan pasukan itu.

LIBAT URUS…SAC Datuk Lim Bak Phai (kanan) bersama Jun Iskandar Morshidi (dua, kiri) ketika sesi libat urus berkaitan kesiapsiagaan dan keselamatan di LTAB Kuching, hari ini.

Menurut kenyataan Briged Sarawak PGA, sesi berkenaan bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan selain memperkukuh koordinasi antara agensi dalam menghadapi kemungkinan ancaman dan kecemasan udara di sekitar kawasan lapangan terbang.

Perbincangan turut memberi penekanan terhadap kerjasama, penyelarasan tindakan dan kesiapsiagaan semua agensi sebagaimana digariskan dalam Manual Mencari dan Menyelamat (SAR) Kebangsaan serta Pelan Kecemasan Aerodrom LTAB Kuching.

Ia khususnya melibatkan persediaan dan tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku insiden membabitkan pesawat di kawasan lapangan terbang.

KENANGAN…Delegasi MAHB LTAB Kuching bersama pegawai Briged Sarawak PGA merakam gambar kenangan selepas sesi libat urus di Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA, hari ini.

Sehubungan itu, MAHB LTAB Kuching bakal melaksanakan Latih Amal Bencana Udara 2026 yang diberi kod nama Exercise Buceros Shield 2026.

Latih amal berkenaan menjadi platform untuk menguji tahap kesiapsiagaan, kecekapan koordinasi serta keberkesanan tindak balas agensi berkaitan ketika berdepan situasi kecemasan membabitkan bencana udara.

Penglibatan Briged Sarawak PGA dalam sesi tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan pasukan itu untuk memperkukuh kerjasama antara agensi, sekali gus memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum demi keselamatan awam dan kepentingan negara.