KUCHING: Jangan khianati kepercayaan rakyat dan kerajaan Sarawak yang menyalurkan peruntukan besar untuk pembangunan infrastruktur, tegas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata, budaya integriti, tadbir urus baik dan keberanian menyuarakan perkara yang benar mesti menjadi pegangan utama warga Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD).
Menurutnya, setiap projek perlu dilaksanakan mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP), selain memastikan keputusan yang dibuat benar-benar berasaskan kepentingan rakyat.
“Apabila kita merancang sesuatu infrastruktur, proses pelaksanaannya mesti mengikut peraturan dan SOP. Kita perlu memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan kepentingan rakyat serta mengelakkan ketirisan.
“Kerajaan telah memberikan kepercayaan kepada kita melalui peruntukan yang besar untuk melaksanakan projek pembangunan. Jangan kita khianati kepercayaan itu. Kita mesti menyampaikan hasilnya kepada rakyat dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kem Integriti MIPD Zon Selatan 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, di sini, semalam.
Mengangkat tema ‘Satu Pasukan, Satu Integriti – Memperkukuh Perpaduan, Menjunjung Integriti’ program tiga hari itu menghimpunkan pegawai dan kakitangan MIPD serta agensi di bawah seliaan kementerian.
Uggah yang juga Menteri MIPD berkata, kejayaan pembangunan infrastruktur tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan projek yang siap, sebaliknya turut mengambil kira pematuhan spesifikasi, komitmen kepada rakyat serta aspek penyelenggaraan selepas projek disiapkan.
Katanya, integriti juga menuntut keberanian untuk bersuara apabila terdapat perkara yang boleh menjejaskan ketelusan atau melanggar peraturan.
“Kalau ada perkara penting dalam mesyuarat, kita perlu bangkitkan. Kalau tidak bersetuju, nyatakan. Mesyuarat bukan jalan sehala.
“Semua orang perlu memberi pandangan supaya kita dapat membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat Sarawak,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Uggah menyambut baik usaha Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menggunakan teknologi bagi mendapatkan maklumat daripada masyarakat mengenai keadaan dan penyelenggaraan jalan.
Beliau berkata sistem pemantauan berasaskan teknologi perlu terus diperkasa bagi memastikan maklumat dari lapangan dapat diterima dengan pantas dan tindakan penyelenggaraan dilaksanakan secara teratur serta tepat pada masanya.
Pada masa sama, MIPD dan SPRM menerima penghargaan atas kerjasama membangunkan Corruption Risk Management (CRM) dan Organisational Anti-Corruption Strategy (OACS) sebagai panduan memperkukuh pengurusan integriti kementerian.
Uggah mengingatkan supaya kedua-dua dokumen itu tidak sekadar menjadi bahan rujukan pentadbiran, sebaliknya diterjemahkan dalam budaya kerja dan amalan harian.
“Dokumen yang baik tidak akan membawa perubahan sekiranya tidak dilaksanakan. Ia mesti menjadi panduan dalam kerja kita dan sebahagian daripada agenda pengurusan kementerian,” katanya.
Beliau berharap Kem Integriti MIPD 2026 menjadi titik tolak kepada pembudayaan semangat Satu Pasukan, Satu Integriti sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang profesional, telus dan diyakini rakyat.
Oleh Adi Safarman




