KUCHING: Persempadanan pilihan raya bukan sekadar menentukan garisan di atas peta, sebaliknya memainkan peranan penting dalam memastikan suara rakyat diterjemahkan melalui sistem demokrasi perwakilan.
Perkara itu antara yang diketengahkan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis ketika memberi penerangan mengenai Kajian Semula Persempadanan Sarawak dalam satu sesi di sini, malam ini.
Menurutnya, setiap sempadan yang ditentukan mempunyai implikasi terhadap pemilih, komuniti yang diwakili serta bagaimana sesuatu kawasan pilihan raya dapat diurus dan diwakili dengan berkesan.
“Setiap garisan yang dilukis di atas peta itu mempunyai implikasi yang besar terhadap siapa yang mengundi, komuniti mana yang diwakili dan bagaimana sesuatu kawasan pilihan raya itu boleh diurus dan diwakili dengan efektif,” katanya.
Beliau berkata, kajian semula persempadanan merupakan perkara penting untuk difahami bukan sahaja oleh parti politik, malah orang ramai.

Jelasnya, antara tujuan sesi berkenaan adalah untuk menerangkan proses kajian semula persempadanan serta prinsip yang menjadi panduan SPR dalam menentukan sempadan kawasan pilihan raya.
Penerangan itu turut menyentuh mengenai bagaimana masyarakat boleh terlibat dalam proses berkenaan, dengan Perlembagaan Persekutuan menyediakan ruang kepada orang ramai untuk berbuat demikian.
Dr Mohd Faisal turut menegaskan bahawa syor yang dikemukakan dalam proses berkenaan masih merupakan cadangan dan bukannya peta muktamad.
Sehubungan itu, orang ramai mempunyai ruang untuk menyatakan pandangan terhadap cadangan berkenaan, sama ada memberikan sokongan atau mengemukakan bantahan.
Beliau turut menerangkan beberapa prinsip yang menjadi panduan dalam kajian semula persempadanan, antaranya kemudahan pentadbiran, keseimbangan perwakilan dan hubungan tempatan.
Oleh Norman B





