SADONG JAYA: Skim Pembesaran Kampung (SPK) adalah kunci bagi menyelesaikan permasalahan kepadatan penduduk khususnya di kawasan kampung tradisi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Aidel Lariwo berkata, keadaan kampung yang padat dan tidak teratur dilihat mengganggu landskap dan suasana di kampung.
“Kebanyakan penduduk di kampung tradisi cenderung untuk memperbesarkan rumah, khusuenya mereka yang mempunyai ruang di sekitar rumahnya.
“Selain itu, kos milikan rumah di kawasan bandar seperti Kuching yang mahal menyukarkan golongan berpendapatan rendah atau tidak mempunyai pendapatan yang tetap untuk membeli rumah di sana.
“Hal ini menyebabkan mereka lebih memilih untuk menyewa di bandar dan menetap di kampung bersama keluarga besar mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menemani Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan SPK Sadong Jaya, di sini semalam.
Dalam pada itu, Aidel turut tidak menafikan bahawa kemungkinan terdapat tiga atau empat buah keluarga terpaksa berkongsi di bawah satu bumbung kerana tidak mempunyai rumah sendiri.
“Inilah sebabnya SPK ini dilihat signifikan dan relevan kerana mereka yang layak akan mempunyai rumah sendiri yang lebih selesa untuk mereka tinggal sekeluarga.
“Tambahan pula, SPK Sadong Jaya ini nanti bakal dilengkapkan dengan kemudahan asas seperti rangkaian jalan, perparitan konkrit, serta bekalan utiliti seperti elektrik dan air.
“Apa yang lebih menarik adalah kadar bayaran premium ke atas satu lot hanya bernilai RM2,500, yang mana boleh dibayar secara ansuran. Ini jelas sangat menguntungkan rakyat,” ujarnya.
Mengulas lebih lanjut, Aidel turut menjelaskan bahawa tapisan bagi mendapatkan lot SPK ini akan diselaraskan oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dan dibantu oleh Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kampung masing-masing.
“Kita hendak memastikan mereka yang benar-benar layak dan memenuhi kriteria sahaja yang akan dapat lot SPK ini,” tegasnya.
Tambah Aidel lagi, keutamaan hanya diberikan kepada penduduk di empat buah kampung sahaja iaitu Kampung Sadong Jaya Laut, Kampung Sadong Jaya Ulu, Kampung Sadong Jaya Tengah dan Kampung Sungai Bilis.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP