GPS perkukuh keharmonian agama melalui UNIFOR, RM685 juta disalur sejak 2017

Facebook
WhatsApp
BERUCAP… Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal sempena Irau-Paskah Long Atip 2027 di Miri. Foto: UKAS

MIRI: Komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperkukuh keharmonian agama terus diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif, termasuk penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi membantu komuniti bukan Islam di seluruh Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata keharmonian agama yang dinikmati rakyat Sarawak merupakan kekuatan yang dibentuk sejak turun-temurun dan perlu terus dipelihara semua pihak.

Menurutnya, kepelbagaian agama dan kepercayaan di Sarawak bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi kekuatan dalam membentuk masyarakat yang saling memahami, menghormati dan hidup bersama secara aman.

“Sarawak amat bertuah kerana dikurniakan keharmonian agama di mana kita dapat hidup bersama dalam suasana saling menghormati dan memahami antara satu sama lain,” katanya.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa menghadiri Majlis Makan Malam Amal sempena Irau-Paskah Long Atip 2027 dekat sini, semalam. Foto: UKAS

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal sempena Irau-Paskah Long Atip 2027 dekat sini, semalam.

Majlis berkenaan diadakan bagi mengumpul dana untuk penganjuran Sambutan Irau-Paskah Long Atip 2027 yang dijadualkan berlangsung pada 25 Mac 2027.

Mengulas lanjut, Uggah berkata, penubuhan UNIFOR membuktikan kesungguhan kerajaan GPS dalam memastikan keperluan komuniti bukan Islam terus diberi perhatian secara menyeluruh.

Katanya, dari 2017 hingga 2026, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM685 juta melalui UNIFOR bagi menyokong pelbagai projek rumah ibadat dan sekolah mubaligh di seluruh negeri.

“Inisiatif ini telah menjadi satu model keharmonian agama dan sikap saling menghormati, dan di Malaysia, Sarawak merupakan satu-satunya wilayah yang mempunyai sebuah unit khusus yang ditubuhkan bagi menyokong komuniti bukan Islam,” katanya.

Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan, sebanyak RM10.72 juta disalurkan bagi melaksanakan 102 projek rumah ibadat, manakala RM538,110 diperuntukkan bagi enam projek sekolah mubaligh dalam tempoh sama.

Uggah turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Borneo Evangelical Mission (BEM) Sarawak yang bertapak di Long Atip sejak 1947, khususnya dalam menyumbang kepada transformasi sosial, pendidikan dan pembangunan insan masyarakat di kawasan Baram.

“Inilah antara sebab mengapa institusi agama amat penting dalam pembangunan masyarakat, kerana gereja bukan hanya tempat beribadat, akan tetapi ia juga menjadi tempat membina nilai, membentuk generasi muda dan mengeratkan hubungan sesama masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkukuh institusi agama perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam membina masyarakat yang mempunyai nilai, berdisiplin dan mampu hidup dalam suasana harmoni.

Pada majlis itu, Uggah menyumbang RM70,000 bagi membantu menjayakan penganjuran Sambutan Irau-Paskah Long Atip 2027.

Turut menyumbang ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala sebanyak RM30,000; ADUN Telang Usan, Dato Dennis Ngau (RM30,000).

Selain itu Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew (RM20,000); Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau (RM10,000) dan ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang (RM10,000).

Oleh Adi Safarman