Hospital Baharu Lawas disasar jadi hospital pakar pada masa depan

Facebook
WhatsApp
HOSPITAL PAKAR...Awang Tengah dan Morliah kelihatan ceria bertukar cerita dengan Hanifah selepas majlis penyerahan Hospital Baharu Lawas daripada JKR Malaysia kepada KKM di Lawas.

LAWAS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, mahu Hospital Baharu Lawas dinaik taraf menjadi hospital pakar pada masa depan bagi menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik dan berteknologi tinggi kepada penduduk.

Beliau berkata, hospital berkenaan perlu dilengkapi kemudahan peralatan moden serta infrastruktur digital bagi membolehkan perkhidmatan seperti teleperubatan dilaksanakan.

“Perkara yang kita harapkan ialah hospital ini dilengkapkan dengan kemudahan peralatan dan infrastruktur digital yang baik.

“Perkhidmatan seperti teleperubatan penting supaya pesakit tidak semestinya perlu dirujuk ke hospital lain, sebaliknya konsultasi boleh dibuat secara dalam talian.

“Kita juga perlu merancang supaya suatu hari nanti hospital ini boleh dijadikan hospital pakar,” katanya.

SERAH KUNCI…Awang Tengah bersama Alexander Nanta dan Hanifah Hajar Taib menyaksikan simbolik penyerahan kunci Hospital Baharu Lawas daripada JKR kepada KKM.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan projek Hospital Baharu Lawas daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di bangunan hospital baharu itu, hari ini.

Awang Tengah berkata, cadangan berkenaan wajar diberi perhatian mengambil kira kedudukan Lawas yang strategik serta terpisah daripada bahagian lain di Sarawak.

Menurutnya, kedudukan Lawas yang berdekatan Brunei, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berpotensi menjadikan kawasan itu sebagai pusat perkhidmatan kesihatan moden bagi rantau berkenaan.

Katanya, beliau juga telah membincangkan perkara itu bersama pihak berkaitan dalam satu mesyuarat sebelum ini.

“Lawas mempunyai kedudukan yang strategik dan perkara ini perlu kita fikirkan serta rancang untuk masa depan,” katanya.

Projek Hospital Lawas pada asalnya diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-7 (RMK-7) pada 1997, namun digugurkan berikutan kos rawatan dan kerja tanah yang tinggi, dianggarkan sekitar RM30 juta.

Projek itu kemudian disenaraikan semula di bawah RMK-9 dengan kos asal RM80 juta.

Pembangunan hospital baharu kemudiannya diputuskan untuk dilaksanakan di tapak hospital sedia ada bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan penduduk Lawas.

Hospital lama mengalami masalah kesesakan dan tidak memenuhi sepenuhnya keperluan kawalan jangkitan serta aspek keselamatan dan kesihatan, termasuk jarak antara katil yang tidak mencukupi, ruang makmal yang sempit dan kekangan ruang penyimpanan peralatan baharu.

Bangunan lama turut mengalami kerosakan konkrit termasuk spalling dan keretakan akibat kakisan tetulang yang berpotensi menjejaskan keselamatan sekiranya tidak ditangani.

Hospital Baharu Lawas yang bernilai RM183 juta dan mempunyai kapasiti 76 katil kini siap dan telah diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia kepada KKM.

Oleh Adeng Edrus