Soul City, Hyper Freedom 2026 tampilkan artis tempatan dan antarabangsa

Facebook
WhatsApp
DATUK Snowdan Lawan (dua kanan) selepas sidang media penganjuran Soul City – An R&B Night dan Hyper Freedom 2026 di Star On Stage (SOS), Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING, 20 November: Dua acara muzik berskala besar, Soul City – An R&B Night dan Hyper Freedom 2026, bakal berlangsung di Kuching Waterfront Esplanade dari 4 hingga 6 Disember ini.

Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, penganjuran kedua-dua acara itu memperlihatkan potensi Sarawak untuk berkembang sebagai destinasi muzik, seni persembahan dan hiburan bertaraf antarabangsa.

DATUK Snowdan Lawan (tengah) bersama wakil penganjur dan rakan strategik pada sidang media penganjuran Soul City – An R&B Night dan Hyper Freedom 2026 di Star On Stage (SOS), Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa

Menurutnya, acara berkenaan bukan sahaja menyediakan platform kepada artis tempatan dan antarabangsa, malah membuka peluang kepada penggiat industri Sarawak untuk mengembangkan kemahiran serta penglibatan dalam sektor kreatif.

“Kita mahu anak-anak Sarawak bukan sekadar menjadi penonton kepada acara antarabangsa, tetapi turut menjadi pencipta, penggiat dan peneraju industri kreatif pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media penganjuran kedua-dua acara berkenaan di Star On Stage (SOS), di sini, hari ini.

Snowdan berkata, pengalaman bekerja bersama produksi antarabangsa dapat meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dalam bidang pengurusan acara, teknikal pentas, pencahayaan, audio dan pengurusan artis.

Beliau turut mengiktiraf kerjasama syarikat tempatan, Tuah Cahaya Petroleum Sdn. Bhd., yang diwakili Alfredo Belarek, bersama penganjur Gelowa Jiwa Sdn. Bhd. yang diterajui Hazirah Ibrahim dan Hyper Freedom Dreamz Sdn. Bhd. yang diterajui Simon Liew.

Menurutnya, penganjuran kedua-dua acara itu juga berpotensi merancakkan ekonomi setempat menerusi sektor perhotelan, restoran, pengangkutan dan peruncitan, selain menarik pengunjung dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Brunei dan Kalimantan Barat.

Soul City – An R&B Night pada 4 Disember bakal menampilkan penyanyi Indonesia, Cakra Khan sebagai penampilan khas, selain Ruffedge, Lah Ahmad, Innuendo dan The Fabulous Cats. Konsert itu turut menampilkan Dato’ Acis selaku Pengarah Muzik.

Sementara itu, Hyper Freedom 2026 pada 5 dan 6 Disember bakal menampilkan DJ antarabangsa Showtek sebagai tarikan utama, selain Code Black, Wildstylez, Ran-D, Garavel, Bayka, Hannah X, SUAE, Technikore, Verzan, YLII dan N52.

Festival muzik elektronik itu turut menampilkan +BLINK, Crossfinger, Denka, MYMAX, Muffin, MILE, Rachel B., Suicideboy dan TINO, selain bakat tempatan Sarawak, Intan, Veen B2B Huriden dan X06ALLONS.

Snowdan berharap penganjuran kedua-dua acara itu dapat menyumbang kepada perkembangan industri muzik dan hiburan Sarawak serta membuka lebih banyak peluang kepada penggiat kreatif tempatan.

Oleh Adele Rissa