SEBUAH produksi teater Malaysia yang mengangkat pengaruh filem Tamil dalam persepsi masyarakat terhadap hubungan cinta akan dipersembahkan di pentas berprestij Lincoln Center for the Performing Arts di New York pada 13 Januari 2027.
Bertajuk Kaadhal Tholvigal (The Failed Romances), produksi itu meneroka tema kekecewaan dalam percintaan, identiti serta pengaruh filem dan muzik Tamil merentas generasi, sekali gus mengetengahkan perspektif Malaysia kepada penonton antarabangsa.
Penerbit, penulis dan pengarah bersama produksi Govin Ruben berkata pementasan di New York itu merupakan pencapaian bermakna buat pasukan kreatifnya.
“Produksi ini lahir daripada kisah, muzik dan pengalaman budaya yang membentuk kehidupan kami sejak kecil, khususnya pengaruh filem Tamil terhadap cara kami memahami cinta dan hubungan percintaan.

“Namun begitu, emosi yang menjadi teras jalan cerita bersifat universal, dan kami berharap penonton di New York dapat menemukan sesuatu yang dekat dengan pengalaman mereka dalam kisah-kisah ini, meskipun latar belakang dan pengalaman mereka berbeza,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Digambarkan sebagai karya kabaret hibrid yang mengangkat perjalanan menuju kedewasaan, produksi itu mencabar gambaran percintaan yang berlebih-lebihan dan sering dipaparkan dalam filem Tamil menerusi gabungan teater, humor, penceritaan yang menyentuh emosi serta persembahan muzik secara langsung.
Diilhamkan secara umum daripada filem klasik kultus arahan Raj Kapoor pada 1970-an, Mera Naam Joker, karya itu turut mengetengahkan filem dan muzik Tamil ikonik dari era 1960-an hingga 2010-an bagi meneliti bagaimana sinema membentuk persepsi serta jangkaan masyarakat terhadap percintaan.

Govin yang menguruskan syarikat seni rentas disiplin Malaysia-Australia, TerryandTheCuz, turut membintangi produksi itu bersama-sama dengan pelakon televisyen dan pengacara dari Singapura, Udaya Soundari.
Produksi berkenaan turut menampilkan kumpulan muzik enam ahli yang terdiri daripada Jaime Gunter (bes), Shieh Yann Wen (keyboard), Prakash Kandasamy (perkusi India), El Roy (dram), Pangasaasanii Gowrisan (biola) dan Farique Nadzir (gitar).
Sebelum dipentaskan di New York, The Failed Romances akan dipersembahkan di Esplanade – Theatres on the Bay, Singapura, pada 21 dan 22 November ini. – Bernama




