Sebastian Ting pantau projek RM400,000 di Balai Polis Pusat Miri dan Sg Baong Kubur

Facebook
WhatsApp
PEMANTAUAN...Sebastian Ting melihat projek di Balai Polis Miri dan Sg Baong Kubur

MIRI, 20 November: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting telah mengadakan lawatan ke dua projek pembangunan yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM400,000, termasuk kerja-kerja pendawaian semula elektrik di Balai Polis Pusat Miri serta projek penambahbaikan di Sg Baong Kubur.

Dalam lawatan pertama ke Balai Polis Pusat Miri, Ting diberi penerangan mengenai projek pendawaian semula elektrik yang melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000.

Beliau berkata kerja-kerja tersebut diperlukan memandangkan bangunan balai polis berkenaan telah berusia lebih 50 tahun dan memerlukan pendawaian elektrik baharu bagi meningkatkan keselamatan serta memastikan bekalan elektrik lebih stabil.

PEMANTAUAN…Sebastian Ting melihat projek di Balai Polis Miri dan Sg Baong Kubur

Projek itu bermula pada 28 Februari dan dijadualkan siap pada 29 November 2028. Selepas kerja-kerja tersebut selesai, pemasangan meter elektrik oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) akan dilaksanakan, dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan berurusan dengan pihak Sesco bagi menyelaras perkara berkenaan.

Lawatan kedua beliau adalah ke Sg Baong Kubur bagi meninjau satu lagi projek di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang bernilai RM100,000.

Beliau berkata projek itu dijangka bermula tidak lama lagi, dengan tempoh pelaksanaan dijadualkan dari 2 November 2026 hingga 1 Mei 2027.

Ting berkata beliau akan terus memantau perkembangan kedua-dua projek bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual.