KUALA LUMPUR, 18 November: Biarpun berdepan risiko kehilangan tawaran persembahan dan terpaksa kembali menyanyi di kafe seperti pada awal pembabitannya susulan kelantangan bersuara tentang kebajikan rakyat, khususnya berkaitan jerebu, penyanyi Indonesia Cakra Khan tidak gentar untuk terus mempertahankan pendiriannya.
Bagi penyanyi berusia 34 tahun itu, kemewahan dan populariti hanyalah bonus dalam perjalanan seninya, sedangkan peluang untuk terus menyanyi sudah cukup bermakna tanpa perlu mengorbankan prinsip demi mengekalkan kedudukan dalam industri hiburan.
Cakra atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman berkata selain pembatalan beberapa tawaran persembahan, pelantun lagu Kekasih Bayang itu turut menerima kecaman serta ugutan menerusi mesej langsung (DM) di media sosial daripada pihak tertentu yang cuba memburukkan reputasinya.
“Saya akan terus bersuara mengenai perkara umum yang dirasakan perlu demi mempertahankan hak rakyat. Apabila ramai rakyat ditimpa bencana, kita semua harus mempunyai sifat empati, saling membantu dan memberi semangat antara satu sama lain.
“Saya juga rakyat biasa dan punya hak untuk bersuara. Saya tidak akan mengulas hal-hal remeh atau di luar pengetahuan saya, tetapi jika ia membabitkan kepentingan dan kebajikan rakyat, saya tidak akan berdiam diri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Terkenal dengan lagu berentak balada, pop dan R&B, Cakra yang juga penulis lirik berkata status sebagai selebriti tidak seharusnya menjadi penghalang untuk seseorang menyuarakan keprihatinan terhadap kesusahan masyarakat, terutama apabila melibatkan bencana dan musibah.
Pelantun lagu Harus Terpisah itu berkata beliau akan terus menyuarakan pandangan mengenai isu yang menyentuh kepentingan rakyat, meskipun terpaksa berdepan tekanan atau kritikan daripada pihak tertentu.
“Apabila ramai rakyat ditimpa bencana, kita semua harus mempunyai sifat empati, saling membantu dan memberi semangat antara satu sama lain. Saya juga rakyat biasa dan punya hak untuk bersuara.
“Saya tidak akan mengulas hal-hal remeh atau di luar pengetahuan saya, tetapi jika ia membabitkan kepentingan dan kebajikan rakyat, saya tidak akan berdiam diri,” katanya yang turut mempunyai ramai peminat di Malaysia.
Sebelum ini, Cakra pernah meluahkan rasa kesal terhadap isu jerebu dan pembakaran terbuka yang semakin membimbangkan sehingga memberi kesan merentasi sempadan negara jiran. – Bernama




