KUALA LUMPUR, 19 November: Meskipun tidak mempunyai pengalaman menyelam sebelum ini, penerbit Datin Dr Wendy Wong memberanikan diri mengikuti kursus selam skuba demi memahami cabaran yang dihadapi pelakon serta kru ketika menjalani penggambaran filem Takdir Terakhir: Last Dive.
Wendy yang sudah 28 tahun berkecimpung dalam industri seni mengikuti kursus itu bersama-sama penerbit Datuk Nancie Foo dan berpeluang menyelam hingga kedalaman kira-kira tujuh meter.
“Sebenarnya kursus itu memerlukan sekurang-kurangnya lima hari, tetapi saya hanya sempat mengikutinya selama tiga hari kerana kekangan masa.
“Saya ingat mereka bawa saya menyelam sedalam tiga meter sahaja, rupa-rupanya sudah sampai tujuh meter. Memang takut sangat, tetapi selepas mencubanya sendiri, saya semakin menghormati mereka yang bekerja di dalam laut,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran rasmi poster dan treler filem itu serta pertandingan nyanyian lagu runut bunyi di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata pengalaman itu memberinya pemahaman lebih jelas mengenai cabaran penggambaran di dasar laut, khususnya aspek keselamatan dan keterbatasan masa ketika menyelam.
“Sebelum ini, kalau kru naik ke permukaan dan perlu berehat selama sejam, mungkin saya akan tertanya-tanya mengapa mereka tidak boleh terus menyelam semula.
“Tetapi selepas mengikuti kursus, saya mula faham. Malah, apabila mereka terlalu lama berada di dalam air, saya pula yang akan risau kerana tahu bekalan udara mereka terhad,” katanya sambil menambah setiap pergerakan perlu dirancang dengan teliti bagi menjimatkan penggunaan bekalan udara.
Selain itu, Wendy berkata keadaan cuaca yang tidak menentu turut menjejaskan kelancaran penggambaran apabila air laut menjadi keruh selepas hujan sehingga menyukarkan proses rakaman.
Dalam pada itu, Wendy berkata pembabitan lima penyelam Orang Kurang Upaya (OKU) dalam produksi itu turut memberinya pengalaman baharu dalam memahami keperluan golongan berkenaan, termasuk memastikan penginapan mempunyai kemudahan tandas mesra OKU.
“Banyak perkara yang perlu difikirkan. Ada hotel yang sudah ditempah tetapi terpaksa ditukar kerana kemudahannya tidak sesuai. Kami banyak belajar sepanjang penggambaran ini dan jika ada kesilapan, kami minta maaf serta cuba membaiki,” katanya.
Sementara itu, bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Dr Ras Adiba Radzi yang turut membuat kemunculan khas dalam filem berkenaan menyifatkan pembabitan golongan OKU dalam produksi tersebut sebagai satu penghormatan.
“Semoga filem ini membuka lembaran baharu kepada golongan OKU, dengan lebih banyak produksi memberi peluang kepada mereka untuk berlakon selepas ini,” katanya.
Selain Ras Adiba, penyanyi Fauziah Latiff turut membuat kemunculan khas dalam filem terbitan Produksi Seni Duapuluh-Duapuluh Sdn Bhd itu yang dibintangi Shiqin Kamal, Aniq Durar, Fify Azmi, Amerul Affendi dan Sandra Lim.
Takdir Terakhir: Last Dive dijadualkan menemui penonton di pawagam tempatan bersempena dengan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa pada 3 Disember ini.- Bernama




