
MIRI: Kejohanan Sukan Tahunan ke-29 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Miri menjadi platform penting dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah seimbang dari segi fizikal, emosi dan mental.
Menteri Pengangkutan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penganjuran sukan tahunan berperanan besar dalam memupuk sahsiah, disiplin, kepimpinan serta semangat berpasukan dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, penglibatan aktif dalam bidang sukan dan kokurikulum amat penting dalam melahirkan modal insan berkualiti, berdaya tahan serta mampu bersaing dalam dunia yang semakin mencabar.
“Melalui sukan, pelajar bukan sahaja diuji dari segi fizikal, tetapi turut membina jati diri, daya tahan dan semangat juang tinggi yang amat diperlukan pada masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan SMK Baru Miri ke-29, hari ini.
Kim Shin turut memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak telah meluluskan dua projek pembangunan rekreasi baharu di Miri iaitu Permy Sports Hub serta Eco Park di Taman Awam, sebagai usaha berterusan memperkukuh gaya hidup sihat dan kesejahteraan rakyat.


Katanya, kelulusan projek berkenaan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan pembangunan sukan dan rekreasi di bandar raya ini.
Dalam pada itu beliau berkata Sarawak juga bakal memainkan peranan penting sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 dengan peruntukan sekitar RM350 juta bagi penganjuran temasya tersebut, selain pelaburan keseluruhan RM630 juta termasuk penaiktarafan infrastruktur sukan.
“Ini adalah peluang besar untuk generasi muda Sarawak, termasuk pelajar sekolah, menjadikan kejayaan sukan sebagai inspirasi dan berani bercita-cita mewakili negeri serta negara di peringkat lebih tinggi,” ujarnya.
Beliau turut menggesa pelajar agar memanfaatkan kejohanan tersebut untuk menonjolkan bakat masing-masing dengan penuh semangat kesukanan, disiplin dan menghormati peraturan.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta ibu bapa atas kerjasama erat dalam menyokong pembangunan pendidikan holistik pelajar.
Oleh Liong Chai Ling