LAWAS: Sayap Pergerakan Pemuda Parti PBB Cawangan Ba’Kelalan Lawas mohon pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) memperbaiki perkhidmatan internet dan telekomunikasi di Lawas.
Ketua Pergerakan Pemuda Parti PBB Cawangan Ba’Kelalan Steve Lius memberitahu, pihaknya mendapat desakan daripada golongan belia dan generasi muda yang amat kecewa dengan mutu perkhidmatan telekomunikasi dan capaian internet yang lemah di Lawas.
Steve yang juga Exco Pergerakan Parti PBB Sarawak menjelaskan pihaknya telah mengenalpasti masalah bekalan tenaga di stesen pemancar yang sering terganggu adalah antara punca kepada masalah ini.
“Setiap kali berlaku gangguan bekalan elektrik, maka gangguan telekomunikasi turut terjejas dan kita di Lawas memang ada liputan internet, tetapi capaiannya amatlah mendukacitakan.
Memang kita menerima banyak aduan dan permohonan generasi muda kita di Lawas agar mutu perkhidmatan capaian internet diperbaiki kerana kita faham sekarang ini banyak urusan menggunakan perkhidmatan dalam talian,” ujarnya ketika ditemui media.
Selain isu internet, pihak Pemuda Parti PBB Cawangan Bakelalan turut menerima berbagai input dan masalah yang perlu dibawa kepada pihak atasan.
“Bagi kita di sayap Pemuda Parti PBB Bakelalan ini akan menggunakan saluran yang betul untuk membantu mereka.
Tidak semua isu perlu kita hebahkan, cuma kita akan guna saluran betul khususnya kepada agensi dan jabatan kerajaan yang berkenaan,” jelasnya.
Oleh ADENG EDRUS