Kanowit, Lubok Antu catat IPU sangat tidak sihat

Facebook
WhatsApp
SETAKAT 8.00 pagi hari ini, menunjukkan Kanowit dan Lubok Antu masing-masing merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat. Sumber NREB.

KUCHING: Dua kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat, masing-masing Kanowit dengan bacaan 206 dan Lubok Antu (203), setakat 8.00 pagi hari ini.

Berdasarkan status Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), sebanyak 13 stesen merekodkan bacaan tidak sihat, manakala lima lagi berada pada tahap sederhana.

Selain Kanowit dan Lubok Antu, bacaan tidak sihat turut direkodkan di Serian (168), Kapit (166), Sri Aman (160), Kuching (158), Bintulu (158), Miri (158), Samarahan (157), Sibu (156), Betong (156), Samalaju (155), ILP Miri (146), Lundu (123) dan Limbang (104).

Sementara itu, lima kawasan mencatatkan bacaan sederhana iaitu Sarikei (97), Mukah (80), Tebedu (99), Lawas (78) dan Bario (56).

JEREBU di sekitar bandar raya Kuching setakat 8.00 pagi ini. Langit di Kuching kelihatan mendung dan bergerimis pagi ini.

Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.

Berdasarkan status berkenaan, bacaan sangat tidak sihat di Kanowit dan Lubok Antu menunjukkan kualiti udara di kedua-dua kawasan berkenaan berada pada tahap yang boleh menjejaskan kesihatan awam, selain memberi kesan kepada golongan berisiko tinggi.

Bacaan IPU berkenaan dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan.

Oleh Shikin Mahmud