Sambutan Kuih Bulan semarak semangat perpaduan di Kampung Sungai Jernang

Facebook
WhatsApp
HAMZAH Ibrahim merasmikan Majlis Makan Malam Sambutan Perayaan Kuih Bulan 2026 di Dewan Kampung Sungai Jernang, Kota Samarahan, semalam. Foto Hamzah Ibrahim Official

KOTA SAMARAHAN: Sambutan Perayaan Kuih Bulan bukan sekadar mengekalkan tradisi dan budaya masyarakat, malah menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan komuniti berbilang kaum di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Ibrahim berkata, beliau berkesempatan bersama masyarakat Kampung Sungai Jernang pada Majlis Makan Malam Sambutan Perayaan Kuih Bulan 2026 yang berlangsung di Dewan Kampung Sungai Jernang, semalam.

Menurut beliau, suasana meriah dan penuh kemesraan pada majlis berkenaan jelas memperlihatkan semangat kebersamaan masyarakat yang terus menghargai kepelbagaian budaya dan tradisi.

“Di Sarawak, kita sudah biasa melihat masyarakat daripada pelbagai kaum duduk bersama dan meraikan perayaan dalam suasana saling menghormati.

“Walaupun mempunyai latar belakang, agama dan budaya yang berbeza, kita tetap dapat berkongsi kegembiraan serta meraikan tradisi bersama-sama. 

HAMZAH Ibrahim disambut oleh penduduk Kampung Sungai Jernang ketika menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Perayaan Kuih Bulan 2026 di Dewan Kampung Sungai Jernang, Kota Samarahan, semalam. Foto Hamzah Ibrahim Official

“Semangat ini perlu terus kita pelihara, khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Pada kesempatan sama, Hamzah turut mengumumkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM80,000 bagi menyokong keperluan masyarakat serta pendidikan setempat.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM10,000 diperuntukkan bagi menjayakan Majlis Makan Malam Sambutan Perayaan Kuih Bulan 2026, manakala RM50,000 disediakan untuk pembinaan kemudahan tempat letak kenderaan di kawasan kampung.

Selain itu, sebanyak RM20,000 turut disalurkan bagi membantu menyediakan perabot dan kelengkapan sekolah, khususnya meja dan kerusi untuk kegunaan murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Sungai Jernang.

Hamzah berharap peruntukan tersebut dapat memberi manfaat secara langsung kepada penduduk Kampung Sungai Jernang, selain membantu meningkatkan kemudahan yang diperlukan oleh komuniti dan sekolah setempat.

HAMZAH Ibrahim menyampaikan hadiah kepada pemenang pada Majlis Makan Malam Sambutan Perayaan Kuih Bulan 2026 di Dewan Kampung Sungai Jernang, Kota Samarahan, semalam. Foto Hamzah Ibrahim Official

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sungai Jernang serta seluruh warga kampung atas usaha dan kerjasama dalam menjayakan sambutan tersebut.

Katanya, tradisi seperti sambutan Kuih Bulan perlu terus dipelihara kerana ia menyediakan ruang kepada masyarakat untuk berkumpul, beramah mesra dan saling mengenali, sekali gus mengukuhkan perpaduan.

“Semoga tradisi seperti ini terus menjadi ruang untuk kita berkumpul, mengenali antara satu sama lain dan mengukuhkan lagi semangat perpaduan dalam masyarakat kita,” katanya sambil mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Kuih Bulan kepada semua yang meraikannya.

Oleh Adi Safarman

Suspek curi dua rim kereta ditangkap

MIRI: Cubaan seorang lelaki mencuri dua rim kereta di Kampung Sungai Baong, Krokop, di sini, terbongkar selepas aksinya dirakam kamera