Ular sawa batik 2.1 meter menyorok dalam enjin kereta

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki berusia 56 tahun berdepan detik cemas selepas seekor ular sawa batik sepanjang 2.1 meter ditemui bersembunyi di dalam ruang enjin keretanya di Bratong, Roban, hari ini. Foto APM Saratok

ROBАN: Seorang lelaki berusia 56 tahun berdepan detik cemas selepas seekor ular sawa batik sepanjang 2.1 meter ditemui bersembunyi di dalam ruang enjin keretanya di Bratong, Roban, hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.20 pagi yang memaklumkan terdapat kelibat seekor ular di dalam enjin kenderaan milik pengadu.

Menurutnya, tiga anggota APM Saratok kemudiannya bergerak ke lokasi pada 11.22 pagi dan tiba kira-kira 30 minit kemudian, sebelum operasi menangkap reptilia berkenaan dijalankan.

“Setibanya di lokasi, ketua skuad memastikan semua anggota memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) sebelum operasi dimulakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati benar terdapat seekor ular sawa batik di dalam ruang enjin kereta milik pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiga anggota APM yang terlibat berjaya menangkap ular berkenaan menggunakan teknik menjerut dengan bantuan peralatan khas.

“Ular sawa batik sepanjang kira-kira tujuh kaki itu berjaya ditangkap dengan selamat,” katanya.

Operasi yang melibatkan tiga anggota APM Saratok itu selesai pada 12.00 tengah hari. Jarak perjalanan sehala ke lokasi kejadian adalah kira-kira 25 kilometer.

Operasi berkenaan turut menggunakan sebuah kenderaan persendirian serta peralatan seperti penjerut, penyepit ular, sarung tangan dan kelengkapan keselamatan lain.

Leftenan Nur Athirah turut menasihatkan orang ramai supaya tidak cuba menangkap reptilia sendiri dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berdepan situasi serupa demi keselamatan semua pihak.

Orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Saratok di 083-436094 atau 083-437008 bagi melaporkan sebarang kejadian kecemasan.

Oleh Adi Safarman