KUCHING: Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom akan memberi taklimat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai pelan pengeluaran makanan haiwan daripada sisa kelapa sawit menjelang Mac depan.
Ini susulan arahan Abang Johari kepada kementeriannya untuk mengeluarkan makanan haiwan daripada sisa kelapa sawit dalam tempoh enam bulan.
“Saya harap perkara ini dapat dilaksanakan pada Jun. Saya akan memberi taklimat megenai perkara ini kepada Premier menjelang Mac,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majls perasmian Bengkel Keselamatan Makanan Sarawak-Belanda yang pertama di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Stephen Rundi berkata, isu makanan haiwan ini tidak hanya berlaku di Sarawak sahaja malah ia melibatkan seluruh dunia.
“Dengan ekonomi global semasa, dan kerana mata wang kita lemah, harga untuk membeli bahan mentah, seperti jagung untuk membuat makanan haiwan memakan kos yang tinggi. Oleh itu, sekiranya kita menggunakan kelapa sawit sekurang-kurangnya boleh menjimatkan kos sekali gus mengurangkan harga,” katanya.
Pada 13 Januari lalu, Abang Johari memberi masa enam bulan untuk mengeluarkan sumber makanan haiwan menggunakan sisa kelapa sawit.
Beliau juga mengarahkan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) untuk memulakan kajian dengan diberikan peruntukan bagi mengeluarkan sumber makanan untuk semua jenis haiwan.
Oleh NUR AIN OTSMAN