Nahas helikopter: Operasi bawa keluar mangsa sedang giat dijalankan – Dr Dzulkefly

Facebook
WhatsApp
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media khas berhubung insiden helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) Kementerian Kesihatan (KKM) yang terhempas di Long Lellang, Sarawak semalam. Turut sama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abdul Wahab (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Operasi membawa keluar lima mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata operasi berkenaan dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dengan usaha membawa keluar mangsa bermula sejak 7.30 pagi tadi.

Dr Dzulkefly berkata pihak hospital di Miri juga telah bersedia sepenuhnya di semua peringkat untuk menerima mangsa sebaik sahaja mereka dibawa keluar dari lokasi kejadian.

“Setakat laporan pagi ini, operasi membawa keluar mangsa sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat iaitu Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata KKM akan terus mendapatkan perkembangan mengenai operasi itu daripada pihak berkuasa dari semasa ke semasa, memandangkan lokasi kejadian berada di kawasan pedalaman dan mempunyai cabaran dari segi akses.

Katanya tiga keutamaan KKM ketika ini ialah keselamatan petugas kesihatan yang menjalankan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), memastikan kebajikan keluarga dan waris mangsa terjaga serta menjamin kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti khususnya di kawasan pedalaman.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata pasukan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Minda dan Psikososial (MHPSS) KKM telah digerakkan dan kini mendampingi ahli keluarga mangsa bagi memberikan Bantuan Awal Psikologi (PFA) serta sokongan emosi berterusan.

Selain itu, beliau berkata bantuan lain termasuk sumbangan kewangan atau ex gratia kepada keluarga mangsa akan diuruskan KKM.

Sokongan itu turut diberikan kepada pasukan FDS yang terkesan susulan insiden berkenaan, katanya.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.

KKM dalam kenyataan memaklumkan helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi. – Bernama