PETRA JAYA: Miri diharap memperoleh pengiktirafan sebagai Bandar Kreatif Kesusasteraan UNESCO dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, tempoh berkenaan bergantung kepada sejauh mana pasukan yang terlibat dapat menyediakan dokumen pencalonan (dossier) serta berhubung dengan pihak berkaitan di Kuala Lumpur.
“Biasanya ia tidak begitu cepat. Ia bergantung kepada sejauh mana aktifnya mereka yang berada dalam pasukan untuk mendapatkan dossier dan berhubung dengan Kuala Lumpur.
“Kita tidak boleh mengemukakannya sendiri sebagai negeri kerana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNESCO tidak mengiktiraf negeri, sebaliknya hanya negara.
“Jadi, penghantaran perlu melalui Kuala Lumpur dan saya berharap dapat melihat pengiktirafan itu dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang,” katanya pada sidang media Festival Sastera Sarawak 2026 dan Aspirasi Miri sebagai Bandar Kreatif Kesusasteraan UNESCO di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, aspirasi itu bukan sekadar untuk mendapatkan gelaran antarabangsa, sebaliknya perlu memperkukuh ekosistem kesusasteraan Miri dan mewujudkan peluang kepada pelbagai komuniti.
Katanya, Miri mempunyai kekuatan sebagai bandar raya berbilang budaya, pintu masuk ke utara Sarawak serta dihuni pelbagai komuniti dengan bahasa, tradisi dan cerita tersendiri.
Beliau berkata, penglibatan masyarakat juga penting dengan penulis, guru, pelajar, golongan muda, masyarakat peribumi, penerbit, penggiat budaya dan orang awam diberi peluang untuk terlibat.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata Festival Sastera Sarawak 2026 boleh menjadi antara platform penting dalam perjalanan Miri ke arah pengiktirafan berkenaan.
Katanya, festival itu perlu didokumentasikan dengan baik, termasuk penyertaan masyarakat, penglibatan golongan muda, kerjasama, kepelbagaian program, penglibatan antarabangsa dan impak yang boleh diukur.
Selain itu, beliau berkata pemeliharaan dan promosi bahasa serta tradisi kesusasteraan Sarawak turut penting, termasuk mendokumentasikan, menterjemah dan menerbitkan cerita yang masih wujud dalam tradisi lisan serta ingatan masyarakat.
Ujarnya, pengiktirafan berkenaan juga boleh membuka peluang kepada Miri bekerjasama dengan bandar kreatif lain di peringkat antarabangsa serta memberi lebih banyak pendedahan kepada penulis dan penggiat kreatif Sarawak.
Festival Sastera Sarawak 2026 dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Miri dari 23 hingga 27 September ini.
Oleh Shikin Mahmud





