SIBU: Kelab Lions Sibu Cawangan Pahlawan akan meraikan ulang tahun ke-25 dengan penganjuran Sidang Kemuncak Pemimpin Lions ASEAN selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Februari 2025 di sini.
Pengerusi penganjur, Jamie Tiew berkata, acara ini dijangka menarik sejumlah besar pemimpin Lions dari seluruh rantau ini termasuk China, Filipina, Singapura, Thailand, Hong Kong, Taiwan, Brunei dan Sri Lanka serta pelbagai bahagian di Malaysia.
“Kami sangat teruja menyambut pemimpin Lions dari seluruh ASEAN dan luar negara ke Sibu untuk acara bersejarah ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, sidang kemuncak ini menampilkan kehadiran dua Pengarah Antarabangsa dari Kelab Lions Antarabangsa iaitu Zhao Dong dari Shenyang, China dan Dato Yeoh Wah Chin dari Kuala Lumpur.
“Ia juga akan menjadi tuan rumah kepada Pengerusi Majlis dari pelbagai Daerah Lions termasuk Thailand, Malaysia, Shenzhen, Singapura dan Filipina,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Kelab Lions Sibu Cawangan Pahlawan, Steady Tiau Kiu meluahkan rasa terujanya menyatakan lebih daripada 340 peserta mendaftar untuk sidang kemuncak tersebut.
Katanya, ’25th Silver Jubilee Banquet’ pada 22 Februari di sini juga dijangka menjadi acara berprestij dengan lebih 620 hadirin dijangka hadir.
Sehubungan itu, Tiau merakamkan ucapan terima kasih kepada kelab induk mereka, Kelab Lions Sibu Mandarin dan tujuh kelab penaja atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi.
Beliau juga mengiktiraf sumbangan yang tidak ternilai daripada bekas gabenor daerah, presiden kelab dan semua ahli Lions yang bekerja tanpa henti untuk merealisasikan sidang kemuncak tersebut berjalan dengan lancar.
Oleh Tarani Lanting