
KUCHING: Orang ramai dijemput untuk menyertai program Pembelian Balik Minyak Masak terpakai anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang akan berlangsung Ahad ini, 2 Mac.
DBKU menerusi satu hantaran Facebook memaklumkan program itu akan berlangsung dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di pekarangan tempat letak kereta Penview Convention Centre, Demak.
”Hantar minyak masak terpakai yang telah ditapis di perkarangan tempat letak kereta Penview Convention Centre, Demak dan terima bayaran berdasarkan berat minyak yang dikumpul.
”Bantu menjaga kebersihan alam sekitar dan berikan impak positif. Bawa minyak masak terpakai anda dan bersama-sama menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau,” katanya.
Sementara itu, DBKU pada masa sama, mengingatkan bahawa minyak masak terpakai perlu ditapis dan disimpan dalam bekas yang bersih dan kedap udara.
Tambahnya, minyak masak terpakai akan ditimbang di lokasi dan bayaran akan dibuat berdasarkan jumlah hasil timbangan minyak masak yang diserahkan sama ada dalam bentuk tunai atau aplikasi pembayaran digital.