183 calon SPM 2026 SMK Tebedu terima suntikan motivasi

Facebook
WhatsApp
DR Simon Sinang Bada menyantuni ibu bapa yang hadir pada Program Motivasi SPM 2026 SMK Tebedu di Dewan Serbaguna SMK Tebedu, hari ini. Foto Dr. Simon Sinang N21 Tebedu

TEBEDU, 3 Oktober: Seramai 183 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu menerima suntikan motivasi dan dorongan bagi meningkatkan keyakinan diri menjelang peperiksaan SPM yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Program Motivasi SPM 2026 SMK Tebedu itu turut merangkumi Hari Pelaporan Peperiksaan Percubaan SPM, Pemuafakatan serta Seminar Keibubapaan yang berlangsung di Dewan Serbaguna SMK Tebedu, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata program berkenaan penting dalam membantu pelajar membuat persediaan lebih rapi, di samping membina keyakinan diri dan semangat untuk menghadapi cabaran peperiksaan.

Menurutnya, kejayaan seseorang pelajar bukan sahaja bergantung kepada pencapaian akademik, malah turut memerlukan disiplin, kesungguhan, sokongan keluarga serta bimbingan berterusan daripada pihak sekolah dan komuniti.

“Saya berharap semua calon SPM 2026 terus berusaha, meningkatkan fokus dan tidak mudah berputus asa. Gunakan masa yang ada sebaik mungkin untuk memperkukuh persediaan sebelum menduduki peperiksaan,” katanya.

Sesi motivasi disampaikan oleh Dr Clarence Jerry yang berkongsi pelbagai panduan dan dorongan kepada pelajar supaya terus berusaha, berdisiplin serta yakin terhadap kemampuan diri masing-masing.

DR Simon Sinang Bada pada Program Motivasi SPM 2026 SMK Tebedu yang turut merangkumi Hari Pelaporan Peperiksaan Percubaan SPM, Pemuafakatan serta Seminar Keibubapaan. Foto Dr. Simon Sinang N21 Tebedu

Program itu dianjurkan pihak SMK Tebedu dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling (B&K), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tebedu serta Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Tebedu.

Dr Simon berkata kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa, PIBG, DBNA dan komuniti amat penting dalam memastikan pembangunan pelajar dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Anak-anak kita perlu dibentuk bukan sahaja untuk cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai sahsiah yang baik, keyakinan diri dan semangat untuk mencapai masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut merakamkan tahniah dan syabas kepada pihak pengurusan SMK Tebedu, PIBG, Unit B&K dan DBNA Cawangan Tebedu atas penganjuran program yang memberi manfaat kepada calon SPM.

Turut hadir Pengerusi DBNA Cawangan Tebedu Dr Alim Impira, Pemanca Kane Manung, Penghulu Donny Achan, barisan guru SMK Tebedu, ibu bapa serta para pelajar.

Kepada semua calon SPM 2026, beliau berpesan agar terus fokus, percaya kepada kebolehan diri dan memanfaatkan masa yang ada untuk meningkatkan prestasi serta mencapai kejayaan.

Oleh Adi Safarman

Turkiye dilanda gempa bumi magnitud 5.2

ISTANBUL, 4 Oktober: Gempa bumi bermagnitud 5.2 direkodkan di wilayah Osmaniye, tenggara Turkiye hari ini, menurut Agensi Pengurusan Bencana dan